Bersama Bakal ‘Berkubur’ Jika Terus Solo, Rafizi Bukan Segala-galanya, Kata Puad

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli berdepan risiko menjadi parti pinggiran dan mengulangi nasib Muda serta Pejuang sekiranya terus memilih haluan solo tanpa membina kerjasama strategik dengan parti politik lain.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Bersama tidak boleh meletakkan seluruh harapan kepada figura Rafizi semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh jentera akar umbi serta membentuk jaringan kerjasama bagi memperluaskan pengaruh politiknya.

“Bersama bergantung kepada Rafizi seorang. Ia akan jadi macam Muda dan Pejuang. Akhirnya terpaksa menyertai parti gabungan lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook ketika mengulas kenyataan Rafizi susulan kegagalan Bersama memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Puad turut mempersoalkan pendirian Rafizi yang menyifatkan Bersama bukan parti yang dibina untuk mencapai kemenangan segera, sebaliknya mahu mencabar politik identiti yang sekian lama mendominasi landskap politik negara.

Menurutnya, Bersama juga dilihat ketandusan isu yang mampu mencetuskan perhatian serta membangkitkan sentimen pengundi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan parti itu untuk berkembang dalam realiti politik Malaysia.

“Amat sukar untuk menjadi parti solo dalam konteks Malaysia. Kena cari rakan kongsi yang semuanya sudah terbabit dengan politik identiti.

“Kalau terlalu idealistik, Bersama mungkin tutup kedai lebih awal sebelum tamat satu generasi,” katanya.

Pada PRN Melaka, Bersama bertanding di 16 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun gagal memenangi mana-mana kerusi dan kehilangan wang deposit di 15 kawasan.

Hanya calon parti itu di DUN Bemban berjaya mengekalkan wang deposit, manakala 15 lagi calon di Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Telok Mas dan Serkam gagal berbuat demikian.

Puad turut mengingatkan Rafizi supaya tidak menganggap pengalaman politik serta kedudukannya sebagai bekas Menteri Ekonomi menjadikan setiap pandangan yang dikemukakan pasti mendapat penerimaan rakyat.

“Rafizi kena belajar jadi pemimpin yang tidak merasakan dia saja yang betul dan serba tahu,” katanya.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional (BN) menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan empat kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi.

BBerkaitan

Latest articles