Bersama Tidak Gentar Lawan Politik Identiti UMNO, Pas Dan DAP – Rafizi

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) tidak gentar berdepan UMNO, Pas dan DAP dalam usaha membina alternatif politik yang menolak politik berasaskan identiti kaum, meskipun parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, parti itu sejak awal tidak meletakkan sasaran untuk membentuk kerajaan atau mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya, sebaliknya mahu menjadi platform politik yang mampu mengekang pengaruh politik identiti.

Menurutnya, keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BERSAMA kehilangan wang deposit di 15 daripada 16 kerusi ditandingi tidak menggambarkan potensi jangka panjang parti berkenaan.

Beliau berkata, penilaian terhadap prestasi BERSAMA perlu mengambil kira perkembangan sokongan rakyat dan keupayaan parti membina kekuatan sendiri, bukannya semata-mata berdasarkan jumlah kerusi dimenangi.

“Pada peringkat ini, saya tidak menilai potensi BERSAMA dari jumlah kerusi yang dimenangi.

“Saya nilai dari peningkatan dan trajektori dalam usaha berterusan membina BERSAMA sebagai platform yang menjadi antidot kepada politik identiti.

“Ukurannya bukan enam bulan, bukan setahun. Ukurannya satu generasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Rafizi berkata, BERSAMA menyedari landskap politik negara ketika ini semakin dipengaruhi politik identiti apabila pengundi Melayu cenderung bergabung di bawah UMNO dan Pas, manakala pengundi bukan Melayu pula memberi sokongan kepada DAP.

Katanya, keadaan itu mewujudkan kitaran politik yang semakin menjauhkan hubungan antara masyarakat berbeza kaum.

Beliau turut mendakwa parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti-parti lain hanya menumpang kekuatan parti yang mempunyai pengaruh dalam kelompok pengundi masing-masing.

“Saya menolak politik identiti yang dibawa UMNO/PAS.

“Saya juga menolak politik yang dibawa oleh PH mutakhir ini kerana rentak politik yang dibawa oleh DAP secara tidak langsung menjadi sumbu kepada politik identiti UMNO/PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, BERSAMA tidak gentar untuk berdepan kedua-dua kelompok politik berkenaan di kawasan pengaruh masing-masing walaupun menyedari pendekatan itu membawa risiko besar.

Menurutnya, parti itu perlu membina kekuatan secara berperingkat bagi menawarkan pilihan politik yang memberi penekanan kepada visi, prestasi, kecekapan pentadbiran dan dasar yang berkesan.

Mengulas prestasi pilihan raya, beliau berkata, terdapat beberapa peningkatan sokongan terhadap BERSAMA jika dibandingkan dengan PRN Johor, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Katanya, undi BERSAMA di kerusi majoriti bukan Melayu di Melaka meningkat kepada 6.52 peratus berbanding 3.26 peratus ketika PRN Johor, iaitu peningkatan kira-kira 100 peratus dalam tempoh empat bulan.

Bagi kerusi campuran pula, parti itu memperoleh purata 7.68 peratus undi berbanding 3.49 peratus di Johor.

“7.68 peratus adalah kecil dan masih hilang deposit, tetapi ia peningkatan lebih 100 peratus dalam tempoh empat bulan (dari PRN Johor ke Melaka),” katanya.

Beliau turut menyifatkan pencapaian purata 4.26 peratus undi di kerusi majoriti Melayu sebagai permulaan positif bagi sebuah parti yang bertanding secara bersendirian.

Menurutnya, BERSAMA memperoleh undi tertinggi sebanyak enam peratus di Sungai Udang, selain bertanding di beberapa kerusi majoriti Melayu yang disifatkannya sebagai kawasan mencabar termasuk Serkam, Telok Mas dan Kuala Linggi.

Rafizi berkata, perkembangan itu membuktikan BERSAMA berupaya menarik sokongan pengundi tanpa bergantung kepada gabungan politik sedia ada.

Beliau turut memaklumkan BERSAMA yang genap enam bulan penubuhannya minggu ini berjaya membina jentera pilihan raya yang setanding dengan parti lebih lama bertapak.

Katanya, parti itu turut dibiayai melalui sumbangan ahli dan orang ramai, manakala kempen PRN Melaka berlangsung dengan lancar hasil komitmen calon, ahli serta sukarelawan.

Sehubungan itu, Rafizi merakamkan penghargaan kepada kesemua 16 calon, jentera parti, sukarelawan dan pengundi yang memberikan sokongan kepada BERSAMA.

“Sebab itu rata-rata ahli dan penyokong BERSAMA berlapang dada dan bersyukur dengan keputusan di PRN Melaka.

“Kami tahu kami sedang menapak dengan lebih yakin dan lebih laju, berbanding parti dinosaur yang akan kehilangan rentak satu hari nanti,” katanya.

Beliau turut memaklumkan analisis terperinci keputusan PRN Melaka melibatkan prestasi BERSAMA akan dibentangkan menerusi Podcast YBM pada Jumaat ini.

BBerkaitan

Latest articles