KLUANG: Desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal tidak seharusnya menggugat kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selagi beliau masih menguasai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Perdana Menteri perlu kekal fokus terhadap agenda reformasi dan pelaksanaan dasar kerajaan daripada tunduk kepada tekanan politik yang mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal.
Menurutnya, kerajaan masih mempunyai kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran, justeru tempoh berbaki itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melaksanakan pembaharuan yang dirancang.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu tunduk kepada mana-mana tekanan,” katanya di sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2026, hari ini.
Loke berkata, antara perkara yang perlu diberi keutamaan ialah reformasi perundangan termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan undang-undang baharu bagi memperkukuh tatakelola, pengurusan kewangan negara dan usaha membanteras rasuah.
Katanya, agenda berkenaan tidak seharusnya diketepikan semata-mata untuk memenuhi desakan pembubaran Parlimen oleh pihak tertentu susulan kemelut politik semasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kuasa pembubaran Parlimen terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Loke turut menegaskan Pakatan Harapan (PH) kekal konsisten menyokong kepimpinan Anwar bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara demi kepentingan rakyat dan negara.










