PH, Bersama Perlu Berdamai, Jangan Biarkan Reformasi Terus Terjejas

KUALA LUMPUR: Perpecahan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada agenda reformasi yang diperjuangkan sekian lama, sebaliknya parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli digesa kembali menyertai Pakatan Harapan (PH) demi memperkukuh kesatuan politik.

Bekas Ketua DAP Melaka, Damian Yeo, berkata perjuangan panjang PH yang disertai pelbagai pengorbanan tidak wajar dipersiakan hanya kerana perbezaan pandangan dan kepentingan antara pemimpin.

Menurutnya, meskipun perselisihan pendapat merupakan perkara biasa dalam politik, ia tidak seharusnya dibiarkan sehingga mencetuskan perpecahan yang berpanjangan.

Dalam hantaran di media sosial, beliau menegaskan agenda reformasi perlu diletakkan mengatasi kepentingan individu mahupun parti.

“Perjuangan reformasi lebih besar daripada mana-mana individu atau parti politik. Ketepikan perbezaan peribadi dan bersatulah demi kepentingan bersama,” katanya.

Bagaimanapun, Yeo turut mengingatkan kepimpinan PH supaya tidak hanya menuntut penyatuan, sebaliknya perlu membuka ruang kepada kritikan, menerima pandangan berbeza serta melakukan muhasabah dan pembaharuan.

Gesaan itu hadir ketika Bersama berdepan kemerosotan sokongan yang ketara apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada 16 kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Prestasi parti itu juga tidak menunjukkan perubahan positif pada PRN Johor Julai lalu apabila kesemua 15 kerusi yang ditandinginya berakhir dengan kekalahan.

Bersama yang turut disertai bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PKR sebelum ini mengumumkan agenda perjuangannya pada Mei lalu dengan memberi penekanan kepada reformasi institusi, penyediaan penjagaan kanak-kanak untuk semua, pengukuhan perlindungan sosial serta pelan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Kegagalan parti itu meraih sebarang kemenangan dalam dua pilihan raya negeri berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kekuatan sokongan rakyat terhadap pendekatan politik yang dibawanya.

Dalam keadaan itu, penyatuan semula Bersama dengan PH dilihat antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi mengelakkan perpecahan berterusan, selain memastikan agenda reformasi tidak terus terperangkap dalam pertelingkahan politik.

BBerkaitan

Latest articles