Tumbang Di Melaka: Mampukah Bersatu Bertahan Tanpa PAS?

MELAKA: Kekalahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kesemua tujuh kerusi yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bukan sekadar kegagalan meraih kemenangan, sebaliknya mencetuskan persoalan serius mengenai kekuatan sebenar parti itu di peringkat akar umbi.

Lebih membimbangkan, lima daripada tujuh calon Bersatu kehilangan deposit, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kemampuan parti itu mempertahankan pengaruh politiknya tanpa sokongan jentera Pas.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, keputusan berkenaan sukar dianggap sebagai kelemahan jentera semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kemungkinan kemerosotan sokongan terhadap parti itu.

Berdasarkan keputusan PRN Melaka, Bersatu gagal memenangi sebarang kerusi dengan hanya memperoleh 15,428 undi atau kira-kira 3.2 peratus undi popular.

“Kalau kalah tipis, kita boleh bercakap tentang jentera, jumlah pengundi keluar atau pecahan undi. Tetapi apabila lima daripada tujuh calon hilang deposit, persoalannya ialah sejauh mana parti itu masih mempunyai sokongan akar umbi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Azizi, prestasi Bersatu di Sungai Udang dan Bemban menjadi antara gambaran paling jelas mengenai perubahan landskap sokongan terhadap parti itu.

Sungai Udang yang pernah dimenangi Bersatu menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2021 kini jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar.

Calon Bersatu, Mejar (B) Abdullah Mahadi hanya memperoleh 2,103 undi, jauh ketinggalan berbanding calon BN, Datuk Rais Yasin yang meraih 18,317 undi untuk menang dengan majoriti 16,214 undi.

Di Bemban pula, bekas penyandang Bersatu, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang kini bersama Parti Wawasan Negara (Wawasan) berjaya mempertahankan kerusi itu menerusi tiket PN dengan 11,881 undi.

Sebaliknya, calon Bersatu hanya memperoleh 2,109 undi, sekali gus memperlihatkan jurang ketara antara sokongan terhadap calon dan parti yang pernah diwakilinya.

Azizi berkata, keputusan itu memberi gambaran bahawa pengaruh calon serta rangkaian politik setempat mungkin lebih menentukan berbanding kesetiaan kepada jenama Bersatu.

“Pengundi Bemban memilih untuk kekal bersama Yadzil walaupun beliau bukan lagi bersama Bersatu. Ini sekurang-kurangnya memberi gambaran bahawa kekuatan personaliti calon dan rangkaian politik setempat lebih kuat daripada jenama Bersatu,” katanya.

Prestasi di Kelebang turut menambah tekanan terhadap Bersatu apabila bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad hanya memperoleh 940 undi.

Kerusi itu dimenangi calon BN, Datuk Lim Ban Hong dengan 12,522 undi.

Menurut Azizi, keputusan PRN Melaka perlu dibandingkan dengan pencapaian PN pada 2021 ketika Bersatu masih bergerak dalam gabungan berkenaan dan mempunyai akses kepada jentera serta rangkaian Pas.

Pada PRN 2021, PN berjaya menawan Sungai Udang dan Bemban menerusi calon Bersatu. Namun, kali ini parti itu bertanding menggunakan logo sendiri ketika hubungan politiknya dengan Pas berdepan pelbagai masalah.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga sebelum ini mengakui wujud kekeliruan dalam kalangan pengundi mengenai kedudukan Bersatu dan PN.

Persoalannya, adakah kekuatan Bersatu sebelum ini benar-benar bersandar pada sokongan akar umbinya sendiri, atau sebahagian besar bergantung kepada kelebihan jentera Pas?

Azizi berpandangan keputusan Melaka memberikan ujian lebih jelas terhadap kemampuan Bersatu apabila tidak lagi menikmati kelebihan jentera gabungan seperti sebelumnya.

PN yang kini dianggotai Pas, Gerakan dan Wawasan pula berjaya memenangi tiga kerusi iaitu Paya Rumput, Bukit Katil dan Bemban.

Dua kerusi dimenangi calon Pas, Rafie Ahmad dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, manakala Bemban dimenangi Mohd Yadzil daripada Wawasan.

Beliau turut menyorot keputusan di empat kawasan yang tidak ditandingi Pakatan Harapan (PH), iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor dan Bemban.

Walaupun PH tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan, ketiadaan kerjasama rasmi antara PH dan Bersatu tidak memberi kelebihan yang mencukupi kepada parti itu untuk meraih kemenangan.

BN berjaya memenangi Lendu, Sungai Udang dan Pantai Kundor, manakala PN mempertahankan Bemban.

Malah, BN mencatatkan kemenangan besar di Sungai Udang dengan majoriti 16,214 undi, sementara PN menang di Bemban dengan majoriti 7,741 undi.

Bagi Azizi, kegagalan Bersatu memanfaatkan ruang pertandingan di kawasan berkenaan turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan strategi politik dan keupayaan parti itu membina sokongan secara mandiri.

Lebih serius, kekalahan di Melaka melengkapkan rentetan kegagalan Bersatu memenangi sebarang kerusi dalam empat PRN berturut-turut, termasuk Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Di Johor, kesemua 16 calon Bersatu tewas, manakala di Negeri Sembilan parti itu gagal memenangi mana-mana daripada 24 kerusi yang ditandinginya.

Azizi berkata, pola kekalahan berulang itu tidak lagi boleh disandarkan semata-mata kepada faktor setempat, sebaliknya perlu menjadi amaran kepada kepimpinan Bersatu untuk menilai semula kekuatan organisasi, calon, jentera dan daya tarikan parti.

“Kalau satu pilihan raya kita boleh mengatakan ia faktor setempat. Tetapi apabila pola yang sama berulang dalam beberapa pilihan raya negeri, parti perlu melihat semula kekuatan organisasi, calon, jentera dan daya tarik jenamanya kepada pengundi,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu turut memberi kesan terhadap kedudukan Bersatu dalam rundingan pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), khususnya ketika persaingan mendapatkan sokongan pengundi Melayu semakin tertumpu kepada BN dan Pas.

Bagaimanapun, Azizi mengingatkan keputusan PRN Melaka tidak boleh diterjemahkan secara langsung kepada pola pengundian nasional memandangkan faktor demografi, calon, isu setempat dan bentuk kerjasama politik pada PRU16 mungkin berbeza.

Namun, keputusan itu tetap membawa mesej jelas kepada Bersatu bahawa pengaruh politik tidak boleh bergantung semata-mata kepada kedudukan dalam gabungan.

“Persoalan selepas Melaka bukan sekadar mengapa Bersatu kalah tujuh kerusi.

“Persoalan lebih besar ialah apakah identiti politik Bersatu selepas tidak lagi mempunyai kelebihan jentera Pas, dan apakah kekuatan yang boleh dibawa parti itu ke meja rundingan menjelang PRU16,” katanya.

PRN Melaka menyaksikan BN memenangi 21 kerusi, PN tiga dan PH empat, manakala Bersatu, Bersama, Putra serta calon Bebas gagal memperoleh sebarang kerusi.

BBerkaitan

Latest articles