MELAKA: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk Kerajaan Negeri Melaka selepas memperoleh majoriti tidak rasmi sebanyak 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, gabungan kedua-dua parti itu turut bersetuju mencalonkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk terus menerajui kerajaan negeri berkenaan.
Beliau berkata, keputusan itu membuktikan rakyat Melaka terus memilih rekod pencapaian, kestabilan dan hala tuju pembangunan yang dibawa BN serta PN berbanding retorik politik sepanjang tempoh kempen.
“Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas kejayaan BN dan PN yang telah memperoleh majoriti yang cukup secara tidak rasmi sebanyak 24 kerusi DUN Melaka.
“Dengan ini, insya-Allah BN dan PN akan membentuk Kerajaan Negeri Melaka,” katanya pada sidang media selepas keputusan PRN Melaka, di sini pada Sabtu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kemenangan itu merupakan kemenangan hatrik buat BN selepas kejayaan gabungan berkenaan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini.
Menurutnya, kemenangan tersebut bukan alasan untuk kepimpinan BN dan PN berasa megah, sebaliknya perlu diterima dengan penuh kesyukuran, rendah hati dan keinsafan.
“Kami sedar bahawa mandat yang diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap aku janji manifesto serta memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi, jentera parti, sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang membantu memastikan kejayaan gabungan berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru seluruh rakyat Melaka supaya melupakan perbezaan politik sepanjang tempoh kempen dan kembali bersatu demi masa depan negeri itu.
“Kami berharap agar setiap individu di Negeri Melaka, sama ada pengundi atau rakyat negeri ini, kita lupakan kisah lalu.
“Marilah kita satukan hati seluruh rakyat Negeri Melaka tanpa mengira latar belakang politik,” katanya.
Beliau berkata, persefahaman politik antara BN dan PN akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk lebih stabil, mantap dan berwibawa.










