MELAKA: Pakatan Harapan (PH) Melaka menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan terbuka selepas hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, empat kerusi yang berjaya dimenangi PH ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir berdasarkan keputusan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, keputusan itu dihormati sebagai mandat yang diberikan rakyat negeri Melaka selain menjadi asas untuk PH memperkukuhkan usaha dan gerak kerja parti pada masa hadapan.
“Pakatan Harapan menerima keputusan ini dengan terbuka dan menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat negeri Melaka.
“Pakatan Harapan juga menerima keputusan ini sebagai tanggungjawab demokrasi dan asbab untuk memperkukuhkan lagi usaha dan gerak kerja kami,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.
Mengulas persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Adly berkata, PH akan berusaha memperbaiki prestasi parti dalam tempoh kira-kira setahun sebelum pilihan raya berkenaan.
Beliau turut memaklumkan analisis menyeluruh berhubung keputusan PRN Melaka, termasuk kecenderungan pengundi muda, belum dilakukan.
Dalam pada itu, Adly merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka yang menunaikan tanggungjawab demokrasi selain petugas SPR, anggota keselamatan, pengamal media serta ejen pengundian dan pengiraan undi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dipilih dan mengingatkan bahawa amanah selepas pilihan raya adalah untuk berkhidmat kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik.










