Anwar: Jangan Sampai Rasuah Jadi Budaya, Pemimpin Kaut Kekayaan Bukan ‘Bodoh’

KUALA LUMPUR: Budaya mengagung-agungkan pemimpin yang mengaut kekayaan melalui rasuah semakin membimbangkan apabila perbuatan itu mula dianggap sesuatu yang biasa dalam masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata mentaliti sedemikian bukan sahaja merencatkan usaha membanteras rasuah, malah berpotensi membawa kehancuran kepada negara sekiranya terus dibiarkan berakar umbi.

Menurut beliau, sejarah membuktikan negara yang pernah mencapai kemajuan hasil perpaduan dan semangat kebersamaan juga boleh runtuh apabila generasi berikutnya mula dibelenggu keangkuhan serta amalan rasuah.

Beliau berkata, antara pemikiran songsang yang semakin diterima ialah anggapan bahawa pemimpin yang tidak mengambil kesempatan untuk mengumpul kekayaan ketika berkuasa dianggap tidak bijak.

“Rasuah jadi budaya, orang boleh terima, tak apalah, sudah jadi Perdana Menteri tak ambil rasuah bodohlah. Dah jadi Perdana Menteri, tak kan tak kaut kekayaan, itu budaya menjahanam negara.

“Ada negara maju kerana semangat kekitaannya dan perpaduan negara tetapi setelah satu dua generasi, hancur kerana bibit-bibit keangkuhan dan rasuah yang mengubahnya,” katanya ketika berucap pada majlis Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara, Rejimen 515 Askar, hari ini.

Beliau menegaskan, usaha membentuk generasi muda yang berintegriti perlu bermula dengan penanaman prinsip dan idealisme bahawa negara hanya dapat dipertahankan melalui nilai murni, bukannya toleransi terhadap amalan rasuah.

Katanya, program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 perlu dimanfaatkan untuk menyemai keyakinan bahawa setiap generasi mempunyai tanggungjawab menyelamatkan negara daripada budaya yang merosakkan.

“Mana ada negara yang selamat dengan toleransi kepada sistem yang gobrok ini, rasuah tak apa dan negara kita pun ada begitu juga.

“Saya tidak fikir kita boleh hina orang tetapi untuk mendewakan, mengagungkan itu, apa yang nak diajar kepada anak-anak. Tanya anak-anak PLKN, hendak ajar apa? Nak ajar antirasuah? Tengok muka-muka pimpinan yang betul nak tolak rasuah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles