MELAKA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka memberi kelebihan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila kedua-dua gabungan itu diramal mendahului persaingan di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Unjuran Ilham Centre menjelang hari pengundian esok itu turut meletakkan Pakatan Harapan (PH) pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisinya, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala Ayer Keroh serta Kesidang dikategorikan sebagai kawasan sengit.
Dalam kenyataan hari ini, badan kajian itu berkata kelebihan BN-PN didorong penyatuan sokongan pengundi Melayu, kekuatan jentera akar umbi serta penerimaan positif terhadap pentadbiran kerajaan negeri.
Kesepakatan kedua-dua gabungan itu turut diterjemahkan melalui perpindahan undi yang ketara, dengan 91 peratus pengundi PN beralih kepada BN, manakala 78 peratus pengundi BN menyokong PN.
Ilham Centre berkata perkembangan itu menyukarkan PH menembusi 23 kerusi DUN yang mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu, khususnya apabila persaingan antara parti Melayu semakin berkurangan.
Kekuatan jentera Umno dan PAS yang tersusun hingga ke peringkat pusat daerah mengundi (PDM), terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar, turut menjadi faktor yang mengukuhkan kedudukan BN-PN.
Selain itu, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dilihat membantu meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap kerajaan negeri menerusi penyampaian bantuan serta penyelesaian isu setempat.
Kajian itu merekodkan kadar penerimaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebanyak 86 peratus, manakala kerajaan negeri mencatat 85 peratus.
Sebaliknya, PH dilihat masih gagal membentuk naratif utama yang cukup meyakinkan untuk mencabar BN, meskipun gabungan itu kekal mendapat sokongan pengundi bukan Melayu dan masyarakat bandar.
Kajian Ilham Centre dijalankan dari 1 hingga 12 November lalu melibatkan 805 responden di semua 28 DUN, dengan margin ralat pensampelan 3.45 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.










