KUALA LUMPUR: AmBank menyediakan saluran komunikasi alternatif menerusi talian telefon bagi membantu pelanggan yang berdepan kesukaran menghubungi pihak bank melalui e-mel susulan gangguan perkhidmatan Microsoft di seluruh dunia.
Menerusi satu kenyataan, AmBank memaklumkan gangguan berkenaan berkemungkinan menjejaskan komunikasi pelanggan dengan pihak bank menerusi e-mel.
Sehubungan itu, pelanggan yang mempunyai urusan transaksi segera atau memerlukan bantuan perbankan diminta menghubungi pasukan berkaitan menerusi nombor telefon yang disediakan.
“Untuk sebarang keperluan transaksi segera atau bantuan perbankan sepanjang tempoh ini, sila hubungi pasukan berkaitan secara terus menerusi nombor telefon berikut,” menurut kenyataan itu.
Pelanggan boleh menghubungi Group Treasury & Markets menerusi talian +603 2059 8600, manakala Transaction Banking boleh dihubungi menerusi talian +603 2167 3000 sambungan 83899.
Dalam pada itu, AmBank memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat gangguan berkenaan.
Bank itu turut memberi jaminan bahawa pihaknya kekal komited untuk memberikan sokongan kepada pelanggan bagi memastikan keperluan perniagaan dan perbankan mereka terus mendapat perhatian.
“Kami menghargai pemahaman anda dan memberi jaminan bahawa pasukan kami kekal komited untuk menyokong keperluan perniagaan serta perbankan anda,” menurut kenyataan itu.










