KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan melakukan gerakan ‘tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan atau menukar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun mandat perlu dikembalikan kepada rakyat sekiranya syarat pembentukan kerajaan perpaduan tidak lagi dihormati.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pendirian itu selari dengan ketegasan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berulang kali menolak sebarang usaha menggugat kestabilan kerajaan menerusi pertukaran Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama politik dalam kerajaan perpaduan tidak boleh dipisahkan daripada garis panduan dan persetujuan yang menjadi asas pembentukannya.
Menurutnya, kepimpinan DAP perlu kembali menghayati dua perjanjian utama, iaitu persefahaman antara BN dan Pakatan Harapan (PH) serta persetujuan pembentukan kerajaan perpaduan yang berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong.
Asyraf Wajdi berkata, antara perkara yang perlu dihormati semua pihak ialah institusi Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong, agama Islam serta kedudukan istimewa orang Melayu.
“Kalau mereka mula merasakan tidak boleh lagi berpegang kepada syarat-syarat ini, maka dengan sendirinya perjanjian itu akan terbatal. Apabila terbatal, secara gentleman kita serahkan semula mandat itu kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada ceramah Pentas Grand Finale BN dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bukit Katil.
Tegasnya, BN tidak mahu rakyat terus dibebani polemik politik yang berpanjangan sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
“Jangan menyusahkan rakyat dengan polemik berterusan yang menyebabkan kerajaan tidak stabil. Kita tidak mahu tebuk atap. Tidak ada pertukaran perdana menteri. Apa yang kita mahu ialah menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, supaya Zahid meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Anwar.










