PN Cabar Anwar Pecat Semua Menteri DAP Pertikai Titah Pengampunan Najib

KUALA LUMPUR: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong memecat semua menteri daripada DAP yang didakwa mempersoalkan titah pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, kenyataan beberapa menteri DAP yang secara tidak langsung mempertikaikan keputusan pengampunan diraja itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Amboi! Engkau siapa? Kenapa engkau seorang sahaja letak jawatan?

“Kepada menteri-menteri DAP, keluarkan semua atau kita cabar Perdana Menteri buang! Bagi nasihat kepada Agong supaya pecat semua menteri-menteri DAP yang mempersoalkan titah Diraja dalam pengampunan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Parlimen pada Khamis.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PN dan Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pihak pembangkang tidak mempertikaikan keputusan mahkamah mahupun keputusan Lembaga Pengampunan, sebaliknya membangkitkan isu berkaitan hak kebebasan seseorang warganegara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, isu sebenar adalah berkaitan pemindahan Najib dari Penjara Kajang ke tahanan rumah di Jalan Duta, Kuala Lumpur selepas pembayaran denda dibuat pada 6 November lalu.

Beliau menjelaskan, keputusan Lembaga Pengampunan pada 18 September 2026 yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib sehingga 2028 serta jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta tidak dipertikaikan pihaknya.

Sebaliknya, katanya, persoalan timbul apabila berlaku kekeliruan berhubung perintah pelepasan yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda berkenaan.

Takiyuddin berkata, dokumen Order of Discharge on Payment of Fine yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu merujuk kepada pelepasan daripada hukuman penjara gantian sekiranya denda gagal dibayar.

“Yang dia kena jalankan baki hukuman itu sampai 2028, teruskanlah. Itu kekeliruan.

“Persoalannya kenapa mengambil empat hari? Empat hari nak selesaikan sama-sama satu jabatan? Dengan satu panggilan telefon kita yakin boleh selesai masalah ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Peguam Negara yang didakwa mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak mahkamah berhubung maksud perintah berkenaan.

Menurutnya, kelewatan itu menimbulkan persoalan kerana Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin bahawa seseorang tidak boleh dilucutkan kebebasannya kecuali mengikut undang-undang.

“Ini bukan kita membela Datuk Seri Najib, tetapi membela hak sebagai warganegara.

“Kalau beginilah pengendalian kerajaan oleh Kerajaan Madani ini, ini adalah satu yang amat membahayakan,” katanya.

Tambah beliau, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat hanya membabitkan bekas Perdana Menteri itu kerana ia boleh memberi kesan kepada rakyat biasa yang turut mempunyai hak mendapatkan pengampunan diraja.

Dalam pada itu, Takiyuddin menyatakan sokongan terhadap gesaan Ketua Pembangkang supaya PN mengambil alih pentadbiran kerajaan dalam tempoh terdekat.

Beliau turut mengaitkan perkembangan berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan menyifatkan isu itu sebagai ‘senjata makan tuan’.

BBerkaitan

Latest articles