Semua Rakyat Bayar SST, Hamzah Tunjuk Resit RM24.50 Di Kantin Parlimen

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kenyataan sedemikian tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana rakyat masih perlu membayar SST ketika membeli makanan dan minuman.

Beliau berkata, perkara itu dapat dibuktikan menerusi resit pembayaran berjumlah RM24.50 bagi pembelian minuman di kantin Parlimen, termasuk caj SST sebanyak 40 sen.

“Kalau boleh saya minta lepas ini Yang Amat Berhormat pergi makan di mana-mana yang paling murah sekali di Parlimen ini, di kantin Parlimen.

“Suruh dia masuk, suruh dia bayar, suruh dia ambil bil dan dia tengok rakyat terbeban ataupun tidak,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.

Menurutnya, beliau sengaja menunjukkan resit berkenaan bagi membuktikan pengguna tetap menanggung bayaran SST ketika membuat pembelian.

“Saya nak bagi tahu rakyat Malaysia, tadi saya pun maklum sajalah, kita minum teh sahaja. Jumlahnya RM23.10, SST enam peratus RM0.40, jumlahnya RM24.50. Saya bayar RM24.50.

“Saya ambil ini kerana nak tunjuk rakyat mana yang tak bayar pergi makan tak bayar SST ini.

“Jadi janganlah cakap benda yang bukan-bukan. Semua rakyat bayar SST ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kenyataan pemimpin kerajaan yang tidak mengambil kira beban sebenar ditanggung pengguna boleh menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan.

Terdahulu, Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Khamis menegaskan kerajaan tidak bercadang memperkenalkan semula GST ketika ini kerana sistem percukaian itu bersifat menyeluruh dan berpotensi membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kutipan hasil SST ketika ini bersamaan 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu kadar sama seperti hasil GST pada 2017.

Beliau turut menjelaskan kira-kira 2,000 jenis barangan dan perkhidmatan dikecualikan cukai di bawah SST berbanding kurang 750 jenis di bawah GST.

Menurut Anwar, SST pada prinsipnya dikenakan kepada sektor perniagaan, meskipun sebahagian kecil bebannya boleh dipindahkan kepada pengguna, manakala GST merupakan cukai menyeluruh yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kerajaan terbuka untuk membuat penyesuaian terhadap sistem SST bagi menangani isu cukai berganda dan menambah baik mekanisme percukaian sedia ada.

Anwar turut berpandangan GST hanya wajar dikaji semula apabila pendapatan minimum rakyat meningkat sekurang-kurangnya RM4,000 bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

BBerkaitan

Latest articles