‘Jangan Rock The Boat’, Ketua Pembangkang Persoal Kenyataan Anwar Isu Taiwan

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Taiwan yang didakwa mencetuskan ketegangan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kepentingan ekonomi dan pelaburan Malaysia.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kenyataan Anwar mengenai pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China sepatutnya dibuat dengan lebih berhati-hati bagi mengelakkan kesan terhadap hubungan diplomatik dan keyakinan pelabur asing.

Menurutnya, persoalan utama bukan mengenai pendirian Malaysia terhadap Dasar Satu China yang sudah diamalkan sejak 1974, sebaliknya tindakan mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dengan Taiwan.

“Ini soalannya. Saya bersetuju bahawa Malaysia ini mempunyai persepsi bahawa kita adalah negara yang mempunyai dasar luar berkecuali.

“Saya sokong. Yang Berhormat buat kata begini, Dasar Satu China daripada dulu. Betullah, daripada dulu. Yang kau pergi rock the boat pasal apa?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Hamzah turut mendakwa isu berkenaan berpotensi memberi kesan kepada pasaran saham, khususnya sektor elektrik dan (E&E), selain menimbulkan persaingan apabila negara jiran seperti Vietnam dan Thailand dilihat berpeluang menarik pelaburan Taiwan.

Beliau mendakwa pasaran saham menyusut antara sembilan hingga 10 peratus pada November susulan perkembangan berkenaan.

Katanya, Taiwan juga merupakan antara pelabur terbesar Malaysia, justeru kerajaan perlu mengambil pendekatan baharu bagi meredakan ketegangan dan memastikan hubungan ekonomi kedua-dua pihak tidak terjejas.

“Jadi soalannya, apakah tidak kita mengambil satu pendekatan baharu untuk kita selamatkan ini? Saya minta kalau boleh, kita adakan rundingan balik semula.

“Apakah ada pendekatan yang baharu untuk kita selamatkan isu ini supaya tidak menjadi satu isu besar yang akan bermasalah dalam negara kita?” katanya.

Menjawab persoalan itu, Anwar menegaskan beliau tidak pernah menyatakan sokongan terhadap tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan, sebaliknya hanya mempertahankan pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China.

Beliau menjelaskan, dalam temu bual bersama Al Jazeera, beliau turut menegaskan bahawa sebarang penyelesaian berhubung isu Taiwan perlu dicapai secara aman.

“Saya kata, we support One China Policy. Yang kedua, kita kata, we believe there should be an amicable resolution through peaceful efforts.

“Now, the next question: What if China decides to invade? That’s purely domestic policy. We do not interfere,” katanya.

Anwar turut menegur Hamzah supaya memahami istilah diplomatik yang digunakan kerajaan, khususnya perbezaan antara rundingan rasmi dengan mesyuarat jawatankuasa kerjasama ekonomi.

Menurutnya, penggunaan istilah rundingan antara dua negara tidak tepat kerana hubungan Malaysia-Taiwan diuruskan menerusi jawatankuasa kerjasama, termasuk Jawatankuasa Kerja Perdagangan dan Jawatankuasa Kerja Pelaburan.

“Ini maknanya dia pengiktirafan. Sebab itu kita kata mesyuarat jawatankuasa, bukan rundingan. Istilah itu penting.

“It’s not state negotiations. Jawatankuasa. Dan inilah berlaku sejak 1974. Nak ubah pasal apa?” katanya.

Mengulas kebimbangan mengenai kejatuhan pasaran saham, Anwar berkata, penurunan dalam sektor berkaitan E&E, AI dan pusat data turut berlaku di pasaran antarabangsa, bukan hanya Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan pasaran saham Malaysia tidak seteruk beberapa negara lain dan yakin perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks pasaran global.

Anwar menegaskan, Malaysia akan terus mempertahankan Dasar Satu China sambil memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan diteruskan.

“Jadi pendirian kita adalah untuk mempertahankan Dasar Satu China dan di samping itu, menegaskan hubungan dengan Taiwan diteruskan dari sudut perdagangan dan pelaburan.

“Sebab itu kita sebut komiti, jawatankuasa kerja untuk menyelaraskan isu pelaburan dan ekonomi dan bukan rundingan antara dua negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles