MELAKA: Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) mengesahkan J Samivel a/l Jairas, Timbalan Ketua Cabang Alor Gajah, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di hadapan Bilik Gerakan Utama PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Menerusi kenyataan Jabatan Pilihan Raya PH pada Rabu, mendiang turut berkhidmat sebagai wakil calon kepada calon PH bagi DUN Asahan, Denesh a/l Palasubramaniam, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Jabatan itu menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada keluarga, sahabat handai, anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta semua pihak yang mengenali beliau.
“Dalam masa yang sukar ini, kami merakamkan ucapan takziah dan simpati yang setulus hati kepada keluarga tercinta.
“Kami juga memohon semua pihak memberi masa secukupnya kepada keluarga untuk menguruskan upacara pengebumian dengan tenang,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, mendiang turut menerima penghargaan atas segala khidmat bakti dan sumbangan sepanjang berkhidmat, khususnya kerja keras beliau sepanjang kempen PRN Melaka kali ini.
Jabatan Pilihan Raya PH turut mendoakan agar keluarga mendiang diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.
Dalam pada itu, wakil kepimpinan tertinggi PKR, Dr Gunarajah George, berada di Asahan bagi membantu keluarga dan pasukan kempen menghadapi saat sukar itu.










