KUALA LUMPUR: Peningkatan populasi warga emas bukan sekadar cabaran kepada kewangan negara, malah berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi sekiranya pelaburan dalam sektor penjagaan diperkasakan.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, setiap ringgit yang dilaburkan dalam sektor berkenaan mampu memberikan pulangan ekonomi lebih luas menerusi pertumbuhan, pewujudan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
Baginda bertitah, pendekatan melihat masyarakat menua semata-mata sebagai beban perbelanjaan hanya akan mengabaikan potensi modal insan dan sosial yang boleh dikekalkan melalui penuaan sihat.
Menurut baginda, kira-kira 12 peratus penduduk Malaysia kini berusia 60 tahun ke atas, namun hanya 14.7 peratus daripada golongan itu memenuhi kriteria penuaan sihat berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan.
“Matlamatnya bukan sekadar menambah tahun kepada kehidupan, tetapi memastikan tempoh kehidupan lebih panjang itu dapat dinikmati dalam keadaan sihat, berdikari dan bermaruah,” titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada High-Level Forum on the Silver Economy 2026: Healthy Longevity for Economic Growth, hari ini.
Sultan Nazrin turut menarik perhatian bahawa permintaan terhadap penjagaan warga emas di ASEAN dijangka meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua dekad akan datang, sekali gus menuntut persediaan lebih menyeluruh daripada kerajaan dan sektor swasta.
Baginda turut menegaskan ekonomi perak tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pasaran baharu bagi pengguna berusia, sebaliknya peluang menyusun semula ekonomi ke arah lebih inklusif, inovatif dan stabil.
Sehubungan itu, baginda menekankan keperluan penyelarasan merentas sektor termasuk kesihatan, perumahan, kewangan dan teknologi bagi memastikan manfaat peningkatan jangka hayat dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Pada majlis berkenaan, Sultan Nazrin turut menerima anugerah Baroness Sally Greengross Award for Healthy Longevity Innovation.
Forum selama dua hari bermula 11 hingga 12 November itu dianjurkan Global Coalition on Aging (GCOA) dengan kerjasama Malaysian Healthy Ageing Society (MHAS), menghimpunkan pemimpin kerajaan, perniagaan dan institusi global bagi membincangkan potensi penuaan sihat sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.










