SuRIA Home: Pemasangan Solar Boleh Disiapkan Hingga Mac 2027, Rebat Kekal

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pengguna yang telah mendapat kelulusan di bawah program SuRIA Home meneruskan pemasangan sistem solar sehingga Mac 2027, meskipun tempoh program rebat itu berakhir pada 31 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengguna yang telah memohon dan mendapat kelulusan akan tetap menikmati rebat yang ditetapkan kerajaan, walaupun pemasangan sistem solar mereka belum diselesaikan menjelang tarikh tamat program.

Menurut beliau, kerajaan masih mempunyai baki peruntukan sebanyak RM90 juta bagi program berkenaan yang membolehkan proses pemasangan diteruskan.

“Jadi memang kita akan sambungkan bagi mereka yang telah memohon dan diluluskan, mereka akan dapat meneruskan pemasangan solar mereka dengan syarat solar mesti disiapkan pemasangan sehingga Mac tahun depan dan mereka akan masih dapat rebat yang telah diputuskan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohd Isam ingin mengetahui sama ada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bercadang melanjutkan tempoh pelaksanaan SuRIA Home selepas 31 Disember ini serta jaminan kepada pengguna yang telah membuat bayaran deposit, menandatangani perjanjian dan mendapat kelulusan tetapi pemasangan masih belum selesai.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan akan menilai pelaksanaan program solar atap berkenaan bagi melihat ruang penambahbaikan, termasuk kemungkinan meneruskannya pada tahun depan.

“Program yang kita nak perkenalkan untuk solar atap ini insya-ALLAH, kita akan menilai dan melihat bagaimana kita dapat memperbaikinya kalau tidak untuk kita lanjutkan lagi pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program Solar Atap yang bermula 1 Januari 2026 dilaksanakan secara terbuka tanpa kuota khusus bagi membolehkan pengguna domestik, komersial dan industri memasang sistem solar untuk kegunaan sendiri.

Katanya, sehingga 15 September lalu, sebanyak 24,291 permohonan dengan kapasiti 391.85 megawatt (MW) diluluskan berbanding 135.92MW pada 30 April 2026, iaitu peningkatan hampir 190 peratus dalam tempoh empat setengah bulan.

Bagi SuRIA Home pula, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk menawarkan rebat RM600 bagi setiap satu kilowatt (kW) sehingga maksimum RM3,000 bagi pemasangan sistem solar berkapasiti 5kW.

Program itu menyasarkan antara 45,000 hingga 50,000 kediaman sehingga kuota kapasiti 250MW dipenuhi atau berakhir pada 31 Disember 2026.

Sehingga 15 September lalu, seramai 12,374 pengguna domestik telah menerima rebat berjumlah RM36.2 juta.

BBerkaitan

Latest articles