KUALA LUMPUR: Anggaran kos sebanyak RM55 juta bagi projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer (km) di 11 kawasan Parlimen di ibu negara masih belum dimuktamadkan, sebaliknya tertakluk kepada penilaian terperinci sebelum pelaksanaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berkata, jumlah berkenaan merupakan anggaran awal perbelanjaan memandangkan projek itu adalah inisiatif berskala besar yang pertama kali dilaksanakan.
Menurutnya, kos sebenar hanya dapat dikenal pasti selepas proses penyediaan senarai kuantiti (BQ), pemilihan lokasi serta penilaian keperluan kerja di tapak dilakukan.
Beliau berkata, antara faktor yang boleh mempengaruhi kos termasuk kerja-kerja pengalihan kabel utiliti, pembersihan tapak sedia ada dan pembinaan infrastruktur tambahan bagi memastikan laluan berbumbung itu dapat dibina tanpa gangguan.
“Ada pihak cuba membuat pengiraan dan mengatakan kos projek ini terlalu mahal.
“UMNO di Kuala Lumpur mungkin tidak begitu mengetahui mengenai projek yang mementingkan rakyat,” katanya ketika ditemui pada satu lawatan kerja di sini hari ini.
Hannah menjelaskan, setiap Ahli Parlimen terlibat perlu memilih lokasi sepanjang 2km di kawasan masing-masing sebelum penilaian lanjut dibuat.
Katanya, perbezaan keadaan dan keperluan di setiap lokasi turut menyebabkan kos pembinaan tidak semestinya sama.
“Lokasi yang berbeza melibatkan kos yang berbeza sebab kali pertama kita nak laksanakan ini.
“Bila kita bentang bajet, mana ada anggaran yang tepat? Ini anggaran perbelanjaan, selepas ini BQ, kemudian proses tender,” katanya.
Beliau turut menegaskan pelaksanaan projek berkenaan akan melalui proses tender terbuka dan perbelanjaannya tertakluk kepada audit.
“Kalau tanya saya, saya tak pernah buat projek ini, sebab itu kita ada anggaran.
“Selepas pelaksanaan, ada bajet yang akan diaudit dan open tender.
“UMNO kalau nak persoal, persoal kemudian, bukan sekarang kerana sekarang masih anggaran perbelanjaan,” katanya.
Terdahulu, Hannah mengadakan lawatan kerja dan tinjauan bagi projek Lestari Niaga yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama pihak berkuasa serta Ahli Parlimen.
Lawatan itu antara lain memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf pasar, membersihkan tapak perniagaan, membina kios baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur untuk peniaga kecil di beberapa lokasi termasuk Pasar Pudu, Pasar Air Panas dan Pasar Borong Kuala Lumpur.










