KUALA LUMPUR: Siasatan polis setakat ini tidak menemukan bukti penglibatan kakitangan atau pihak dalaman Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kes penyeludupan 26 kilogram dadah ke Jakarta, Indonesia, membabitkan seorang juruterbang warga Malaysia pada 29 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan mendapati prosedur keselamatan lapangan terbang itu dipatuhi, manakala kegiatan berkenaan dipercayai didalangi rangkaian sindiket luar.
Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneliti aspek keselamatan penerbangan, termasuk rakaman CCTV dan imej pengimbas bagasi bagi mengesan sebarang bukti baharu.
Beliau berkata, tindakan susulan PDRM bersama pihak berkuasa Indonesia pada 11 hingga 15 Ogos lalu berjaya mengenal pasti rangkaian sindiket serta peranan individu yang terbabit dalam pembekalan, penghantaran dan pengurusan kewangan.
Hasil risikan lanjut, polis menumpaskan sindiket berkenaan antara 20 Ogos hingga 6 September lalu dengan penahanan tujuh rakyat Malaysia yang disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian itu.
Kesemua mereka disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala juruterbang terbabit kini menjalani siasatan pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan pendakwaan mengikut undang-undang negara itu.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan serta kemungkinan penglibatan pihak dalaman KLIA.










