Anthony Loke, Amir Hamzah Antara Tumpuan Kemungkinan Rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan dijangka melakukan perubahan dalam barisan Kabinet dalam masa terdekat susulan kemungkinan berlaku dua kekosongan jawatan menteri.

Menurut laporan Utusan Malaysia pada Selasa, dua jawatan yang menjadi perhatian ialah Menteri Pengangkutan yang disandang Anthony Loke dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Laporan itu menyebut, Anthony sebelum ini dikatakan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu susulan pendirian DAP berhubung isu pengampunan bersyarat membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan bersetuju untuk meneruskan tugas sehingga Najib memulakan tahanan rumah.

Sementara itu, kedudukan Amir Hamzah turut menjadi perhatian apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator Dewan Negara dijadual berakhir pada 11 Disember ini.

Beliau dilantik sebagai Senator pada 12 Disember 2023 bagi tempoh tiga tahun.

Pelantikan semula sebagai Senator diperlukan sekiranya beliau mahu terus memegang jawatan Menteri Kewangan II.

Mengulas kemungkinan rombakan Kabinet, Anwar dilaporkan berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian mengenainya.

“Awal lagi saya tak tahu mengenai rombakan (Kabinet),” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Ketika ditanya mengenai tempoh pelantikan Amir Hamzah sebagai Senator yang bakal berakhir pada 11 Disember ini, Anwar turut berkata beliau belum dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Yakah (tempoh tamat pelantikan Amir Hamzah)? Beliau (Amir Hamzah) belum beritahu apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi kerajaan berhubung sebarang perubahan dalam barisan Kabinet.

BBerkaitan

Latest articles