SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan syarikat, institusi, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip serta mengurus dana umat Islam tanpa pelantikan atau kebenaran sah daripada pihak berautoriti.
Baginda bertitah, lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip, termasuk menggunakan wang berkenaan untuk kepentingan peribadi.
Titah baginda, perbuatan itu bukan sahaja memalukan, malah amat merugikan umat Islam.
“Beta amat sedih kerana terdapat sebahagian daripada pihak-pihak ini terlibat dalam penyelewengan dana awam yang dikutip dan menggunakan dana itu bagi tujuan kepentingan peribadi.
“Perkara ini amat memalukan dan sangat merugikan umat Islam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 di Hotel Concorde, Shah Alam pada Selasa.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa Majlis Agama Islam Negeri-Negeri merupakan pihak berautoriti dan pemegang amanah tunggal bagi Baitulmal di negeri masing-masing, sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam setiap negeri.
Sehubungan itu, baginda menyeru seluruh masyarakat Islam supaya memastikan dana umat Islam disalurkan kepada pihak berautoriti, termasuk Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), atau pihak yang mendapat kebenaran sah daripada institusi berkenaan.
Dalam pada itu, baginda bertitah MAIS perlu memastikan pengurusan harta Baitulmal dilaksanakan secara telus, cekap dan profesional, selain mematuhi hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut baginda, peranan Baitulmal tidak seharusnya terhad kepada institusi yang mengutip harta umat Islam semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemangkin pembangunan kekayaan ummah.
“Peranan Baitulmal tidak boleh hanya dilihat sebagai institusi yang mengutip harta umat sahaja. Baitulmal mesti menjadi institusi yang dapat membangunkan kekayaan umat Islam,” titah baginda.
Baginda turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara MAIS dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dengan institusi perbankan serta kewangan Islam dan syarikat pengurusan kehartaan Islam bagi meningkatkan nilai aset Baitulmal.
Usaha itu termasuk membangunkan aset komersial berimpak tinggi yang mampu menjana pulangan dan memberikan manfaat kepada ummah.
Selain itu, Sultan Sharafuddin bertitah, sokongan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi memperkasakan institusi Baitulmal, termasuk mempercepat pembaharuan undang-undang berkaitan pengurusan harta Islam dan pusaka.
Baginda turut menegaskan isu pertindihan bidang kuasa sivil dan Syariah perlu diatasi segera bagi membolehkan harta pusaka beku milik masyarakat Islam diselesaikan dan dikembalikan ke dalam kitaran ekonomi ummah.
Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 yang julung kali dianjurkan di Selangor itu turut disertai pembentang dan peserta dari Indonesia, Brunei, Singapura serta Thailand.
Sultan Sharafuddin berharap konvensyen berkenaan dapat menghasilkan idea yang boleh dilaksanakan serta membuka ruang kerjasama serantau demi kepentingan umat Islam di Nusantara.










