Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat Sokong Titah Agong, Kecam Tindakan Peguam Negara

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menyatakan sokongan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung isu pelaksanaan titah pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan media bersama pada Ahad, mereka menyifatkan tindakan Peguam Negara yang didakwa ingkar terhadap titah berkenaan sebagai pencabulan nyata terhadap kuasa dan prerogatif Raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, kuasa pengampunan merupakan kuasa budi bicara dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap titah yang lahir daripada kuasa prerogatif tersebut wajib dihormati serta dilaksanakan oleh semua pihak yang memikul amanah awam, termasuk Peguam Negara.

“Peguam Negara dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ke-10 tidak boleh menghalangi pelaksanaan kuasa ini dan berselindung di sebalik proses mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama tersebut turut menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan Najib adalah jelas dan telah dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, menurut mereka, Najib juga telah melalui segala prosedur perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan serta memenuhi syarat titah pengampunan.

“Justeru, tiada sebab untuk pelaksanaan prerogatif KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tersebut ditangguhkan dan/atau diingkari atas apa jua alasan pun,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, mereka mendakwa campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan institusi diraja Negeri Sembilan turut berlaku, khususnya berhubung kemelut takhta negeri itu.

Menurut kenyataan berkenaan, ketetapan Undang Yang Empat untuk menurunkan YAM Tunku Muhriz dan memilih Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan didakwa dihalang daripada dilaksanakan.

Mereka mendakwa tindakan itu berterusan meskipun segala keperluan adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) telah dipenuhi.

“Ketetapan YTM Undang Yang Empat menurunkan YAM Tunku Muhriz dan memilih DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dihalang untuk dilaksanakan dan disabotaj sehingga hari ini oleh pihak Kerajaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut mendakwa beberapa agensi Kerajaan Persekutuan, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), digunakan untuk menyekat serta mengintimidasi pihak mereka daripada menjalankan tugas dan kewajipan.

Selain itu, kenyataan berkenaan mendakwa Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan turut berdepan intimidasi serta sekatan selepas melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peruntukan UUTKNS 1959.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa kuasa menaikkan dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar terletak pada Undang Yang Empat berdasarkan adat dan undang-undang tubuh negeri.

Mereka turut menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menghentikan campur tangan dan intimidasi terhadap prerogatif Raja di mana-mana bahagian dalam Persekutuan.

“Kami menyeru agar campur tangan dan/atau intimidasi oleh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Perdana Menteri Ke-10 terhadap prerogatif Raja di mana-mana bahagian dalam Persekutuan dihentikan serta-merta,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, mereka memohon Yang di-Pertuan Agong supaya meneliti isu berhubung titah pengampunan Najib secara bersama dengan krisis takhta Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan itu, penelitian berkenaan wajar dilakukan bagi menilai kredibiliti dan integriti Peguam Negara yang memegang jawatan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145(5) dan (6) Perlembagaan Persekutuan.

Mengakhiri kenyataan, mereka menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya bertenang, terus bersatu, menghormati undang-undang dan berpegang teguh pada adat sebagai warisan bersama.

BBerkaitan

Latest articles