KUALA LUMPUR: Ketegasan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung titah pengampunan membabitkan Datuk Seri Najib Razak meningkatkan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut laporan akhbar Singapura, The Straits Times (ST), ketegangan tercetus susulan pertikaian berhubung pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu yang masih belum diselesaikan.
Laporan bertajuk Malaysian King’s warning raises stakes as Najib’s house arrest remains in legal limbo itu menyentuh ketegasan Istana Negara bahawa titah pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah adalah jelas dan tidak mempunyai sebarang kekaburan.
ST turut melaporkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan penjelasan lanjut daripada mahkamah berhubung pelaksanaan titah berkenaan menyebabkan proses pemindahan Najib dari Penjara Kajang tertangguh.
Perkembangan itu mencetuskan pertikaian mengenai pelaksanaan keputusan pengampunan diraja serta hubungan antara institusi diraja, badan eksekutif dan kehakiman.
Menurut laporan itu, kontroversi berkenaan turut memberi tekanan politik kepada Anwar susulan perbezaan pendirian dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan campuran, khususnya berhubung layanan terhadap Najib.
Laporan berkenaan turut mengetengahkan implikasi pertikaian itu terhadap kredibiliti kerajaan dalam mengendalikan isu berkenaan, ketika perhatian turut terarah kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan penghormatan terhadap institusi diraja.










