MELAKA: Pengundi perlu memilih wakil rakyat yang mampu memberikan perkhidmatan selepas memenangi pilihan raya, bukan sekadar pandai menjual janji ketika berkempen, kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Beliau menggunakan perumpamaan antara seorang penjual dengan pemberi khidmat ketika mengulas pengalaman calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aishah Mahmud, dalam bidang automotif.
Menurutnya, pengalaman Siti Aishah menarik perhatian kerana beliau bukan sahaja memahami urusan jualan kereta, malah turut mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan selepas jualan.
Khairy berkata, pengalaman itu relevan dengan tanggungjawab wakil rakyat yang perlu terus berkhidmat selepas memperoleh mandat pengundi.
“Siapa sahaja boleh jual, jual air liur sahaja. Tetapi kita kena cari yang dapat servis rakyat selepas dia menang,” katanya ketika berucap dalam ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seri Siantan, Pengkalan Batu.
Beliau berkata, keupayaan seseorang calon tidak boleh dinilai berdasarkan janji semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira kebolehannya menyelesaikan masalah dan menjaga keperluan rakyat selepas pilihan raya.
Dalam ucapannya, Khairy turut menyindir pihak yang membuat pelbagai janji sebelum memperoleh kemenangan, termasuk janji menurunkan harga minyak sebaik sahaja menang.
Selain pengalaman dalam bidang automotif, beliau berkata, latar belakang Siti Aishah dalam pengurusan Pusat Transformasi Bandar (UTC) turut menjadi kelebihan untuk berkhidmat kepada penduduk.
Menurutnya, tugas di UTC mendedahkan calon itu kepada keperluan masyarakat yang berurusan dengan pelbagai jabatan kerajaan.
Katanya, antara urusan berkenaan ialah masalah berkaitan kad pengenalan, sijil kelahiran dan sijil kematian yang memerlukan bantuan serta tindakan susulan.
Khairy menyifatkan pengalaman tersebut sebagai asas yang baik untuk Siti Aishah memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat meskipun tampil sebagai calon baharu.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sumbangan bekas wakil rakyat kawasan berkenaan, Datuk Kalsom Nordin, sambil menyeru pengundi memberikan peluang kepada Siti Aishah meneruskan khidmat kepada masyarakat.
Mengulas tawaran manifesto BN Melaka, Khairy berkata, janji yang menyentuh keperluan harian rakyat mempunyai nilai tersendiri walaupun kelihatan kecil.
Antara yang disebutnya ialah bantuan berkaitan bil air, potongan harga makanan tertentu, perkhidmatan ambulans dan van jenazah percuma serta komitmen tidak menaikkan cukai tanah selama lima tahun.
“Pilihlah orang walaupun janji dia kecil, tetapi janji itu ikhlas dan janji yang akan ditunaikan,” katanya.










