Siti Aishah lepas jawatan pengurus UTC demi khidmat kepada rakyat

MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aishah Mahmud, melepaskan jawatan sebagai pengurus Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka untuk menumpukan khidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Menurut Siti Aishah, keputusan itu dibuat selepas beliau diminta membantu gerak kerja Pusat Khidmat DUN Pengkalan Batu oleh penyandang kerusi berkenaan ketika itu, Datuk Kalsom.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai setiausaha pusat khidmat berkenaan selama lima tahun, sekali gus memperoleh pengalaman mengendalikan keperluan serta permasalahan penduduk setempat.

“Walaupun saya adalah muka baharu, namun saya telah bergelumang dengan kerja khidmat masyarakat ini selama lima tahun dan saya amat mahir dengan kawasan DUN Pengkalan Batu, insya-Allah,” katanya ketika berkempen di Bilik Gerakan Seri Siantan, malam ini.

Anak tempatan Pengkalan Batu berusia 46 tahun itu berkata, pengalaman berkhidmat di UTC Melaka turut membentuk pendekatannya dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.

Beliau memulakan tugas sebagai pegawai program sebelum dinaikkan pangkat kepada pengurus selepas lapan bulan, dan berkhidmat sebagai pengurus selama enam tahun.

Sepanjang tempoh itu, beliau turut mencetuskan idea penganjuran pasar malam berkonsepkan vintaj di UTC Melaka bagi menyediakan ruang kegiatan kepada anak muda negeri berkenaan.

Sebelum menyertai UTC, Siti Aishah mempunyai pengalaman dalam bidang jualan kenderaan dan khidmat lepas jualan, yang menurutnya banyak mengajar beliau mengenai kepentingan perkhidmatan selepas jualan.

Pengalaman itu kemudiannya diterapkan dalam urusan memberikan khidmat kepada masyarakat.

Siti Aishah, yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak, mendapat pendidikan rendah serta menengah di Pengkalan Batu sebelum menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan mencalonkannya untuk mempertahankan kerusi Pengkalan Batu bagi BN.

“Saya memohon anda memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas ini nanti dalam kepimpinan DUN Pengkalan Batu, insya-Allah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles