KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak mendesak Jabatan Penjara segera memindahkan bekas Perdana Menteri itu dari Penjara Kajang ke kediamannya di Langgak Duta bagi menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Desakan itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perintah pengampunan bersyarat yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Dalam kenyataan malam ini, peguam daripada Tetuan Shafee & Co turut menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik penangguhan sementara pelaksanaan perintah berkenaan.
Mereka menegaskan semua syarat pengampunan sudah dipenuhi, termasuk pembayaran denda RM50 juta yang diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Perintah Yang di-Pertuan Agong mesti dilaksanakan hari ini,” menurut kenyataan itu.
Pasukan pembelaan turut menyifatkan tindakan AGC menangguhkan pelaksanaan perintah berkenaan sebagai keingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.
Mereka menegaskan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh ditafsir semula sehingga mengubah maksud titah baginda.
Terdahulu, Istana Negara menegaskan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib adalah jelas, tanpa sebarang kekaburan dan tidak mempunyai kaitan dengan kes lain yang dihadapinya.
Baginda turut bertitah bahawa sebarang hujah mempertikaikan perintah itu menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran perintah pengampunan, khususnya berhubung kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.










