Calon PN Kesidang Buat Laporan Polis Terhadap AG Isu Tahanan Rumah Najib

MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, Albert Kok membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar berhubung isu penangguhan pelaksanaan titah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Bukit Berendam, Melaka Tengah pada Sabtu, kira-kira jam 5.24 petang.

Dalam laporan berkenaan, Albert mendakwa tindakan Peguam Negara mengeluarkan arahan menangguhkan pelaksanaan pemindahan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa serta pematuhan terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, pada 6 November lalu, ketika berada di Bilik Gerakan DUN N.19 Kesidang, beliau terbaca laporan berita mengenai perkembangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Menurutnya, Najib dilaporkan telah memperoleh perintah Mahkamah Tinggi untuk menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan rumah seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Albert mendakwa proses pemindahan yang sedang berlangsung itu dihentikan secara tiba-tiba sebelum Najib dibawa semula ke Penjara Kajang.

“Apabila beliau dibawa keluar dari Penjara Kajang dan dalam perjalanan menuju ke rumah, secara tiba-tiba Peguam Negara mengeluarkan arahan untuk menangguhkan serta menghalang pelaksanaan tersebut dengan alasan yang tidak berasas dan tidak munasabah sama sekali,” katanya dalam laporan polis itu.

Albert turut mempersoalkan punca kuasa Peguam Negara untuk menangguhkan atau menghalang pelaksanaan perintah mahkamah berkenaan.

Beliau juga mendakwa tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perkara 40 dan 42 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan sama, beliau turut merujuk titah rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikeluarkan Istana Negara pada Sabtu, yang menurutnya menggambarkan rasa dukacita Baginda berhubung perkembangan isu berkenaan.

Sehubungan itu, Albert menggesa polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas terhadap dakwaan yang dibangkitkan.

“Saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas terhadap Tan Sri Dusuki Mokhtar selaku Peguam Negara, tanpa dipengaruhi serta campur tangan oleh mana-mana pihak yang berkuasa dan berpengaruh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles