SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyarankan supaya semua hantaran berkaitan Aliff Daniel di media sosial diturunkan bagi memberi ruang kepadanya dan keluarga memulakan kehidupan baharu selepas melalui proses pemulihan.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, saranan itu dibuat selepas Aliff Daniel mengakui kesalahan yang dilakukan dan dijatuhi hukuman memasuki pusat pemulihan akidah selama tiga bulan oleh mahkamah pada 4 November lalu.
Menurutnya, Aliff Daniel bersama ibu dan adiknya turut melakukan pengisytiharan taubat pada 5 November lalu.
“Sehubungan dengan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat berharap mana-mana hantaran berkaitan dengan Aliff Daniel dalam media sosial yang bukan di bawah kawalannya agar dapat diturunkan segera,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, saranan berkenaan bertujuan memberikan sokongan kepada Aliff Daniel dan keluarganya yang kini mahu kembali ke pangkal jalan serta mengikuti ajaran Islam dengan sebenar-benarnya.
Katanya, jejak digital yang masih memaparkan gambaran negatif terhadap individu berkenaan boleh memberi kesan bukan sahaja kepada Aliff Daniel, malah keluarganya, pihak berkuasa agama, umat Islam dan agama Islam itu sendiri.
“Syur ini dibuat bagi memberi sokongan kepada Aliff Daniel dan keluarga yang telah pun kembali ke pangkal jalan dan mahu mengikuti jalan Islam yang sebenar dengan tenang tanpa jejak digital yang memberi gambaran buruk kepada Aliff Daniel, keluarga, pihak berkuasa agama, umat Islam dan agama Islam itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Shahzihan mengajak masyarakat supaya bersangka baik sesama Islam, menjaga maruah saudara seagama serta saling menghormati.
Beliau turut menyeru masyarakat bersama-sama mewujudkan kesedaran melalui persekitaran yang menyokong usaha kebaikan Aliff Daniel, keluarga dan umat Islam secara keseluruhannya.










