KUALA LUMPUR: Pembangunan ladang hutan perlu diperkukuh bagi menjamin kesinambungan bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata, usaha itu memerlukan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah serta agensi berkaitan bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan dengan sokongan dasar dan penyelarasan sewajarnya.
“KPK komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA) dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan sektor ladang hutan dapat diteruskan dengan sokongan dasar serta penyelarasan yang bersesuaian.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berkaitan adalah penting bagi menyokong perkembangan industri perkayuan negara,” katanya.
Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi SAFODA yang diketuai Pengurus Besarnya, Datuk Bahrul Razha Chuprat, kepada Noraini pada Jumaat.
Pertemuan berkenaan turut menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan dan mengenal pasti pendekatan bersesuaian bagi merancakkan pembangunan ladang hutan di Sabah.
Noraini berkata, pendekatan bersepadu itu diharap dapat memastikan sektor ladang hutan terus diberi perhatian, selain membuka peluang kepada penjanaan nilai ekonomi secara mampan.
SAFODA merupakan badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang bertanggungjawab membangunkan sektor perhutanan, khususnya ladang hutan komersial, termasuk memastikan pengeluaran kayu dan hasil hutan dilaksanakan secara terancang serta mampan.










