Malaysia Perkukuh Hab SAF Serantau, Mandat Adunan 1% Diselaraskan ke 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk muncul sebagai hab pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) serantau dengan kapasiti pengeluaran melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028, manakala pelaksanaan mandat adunan SAF sebanyak 1 peratus bagi penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diselaraskan ke 2030 bagi memastikan kesiapsiagaan industri dan kelestarian sektor penerbangan terus terpelihara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, penyelarasan itu bertujuan memberi ruang kepada industri penerbangan membuat persediaan serta menyesuaikan operasi, mengambil kira cabaran semasa pasaran tenaga global.

Menurutnya, peningkatan harga bahan api jet susulan konflik geopolitik dan peperangan memberi tekanan kepada industri penerbangan, khususnya dari segi kos operasi serta kedudukan kewangan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dan penelitian Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), selepas beberapa sesi libat urus dengan pemegang taruh industri.

“Penyelarasan ini juga membolehkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membangunkan kerangka kawal selia yang bersesuaian bagi memastikan pelaksanaan mandat berkenaan kelak berjalan secara teratur dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Malaysia kini memasuki fasa pengeluaran komersial SAF menerusi operasi loji EcoCeres di Johor sejak Oktober 2025, dengan kapasiti berlesen sebanyak 420,000 tan metrik setahun.

Selain itu, loji biopenapisan PETRONAS-Enilive-Euglena di Pengerang dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028, dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 650,000 tan metrik setahun.

Gabungan kedua-dua projek itu dijangka menyediakan kapasiti pengeluaran melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028, sekali gus membuka peluang besar kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab pengeluaran SAF serantau.

Noraini berkata, KPK akan terus bekerjasama rapat dengan MOT, CAAM dan semua pemegang taruh bagi memastikan pembangunan ekosistem SAF negara kekal di landasan yang tepat.

Beliau menegaskan, langkah itu mencerminkan pendekatan kerajaan yang seimbang dalam memperkasa industri SAF, selain memastikan kelestarian sektor penerbangan dan daya saing Malaysia terus terpelihara.

Usaha berkenaan juga dilihat sebagai langkah strategik negara dalam menyokong peralihan tenaga mampan serta meningkatkan nilai tambah sektor komoditi, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi hijau negara.

BBerkaitan

Latest articles