Bayaran Denda RM50 Juta Bukti Kesetiaan UMNO Kepada Najib – Armand Azha

KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO menyelesaikan denda RM50 juta bagi pihak Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai bukti kesetiaan dan semangat setiakawan kepemimpinan serta ahli parti terhadap bekas presiden mereka yang sedang berdepan kesukaran.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya sebuah keluarga besar yang berteraskan persaudaraan, kesetiaan, pengorbanan dan semangat kebersamaan.

Katanya, perbezaan pandangan, kedudukan serta tanggungjawab tidak seharusnya menjadi penghalang untuk ahli parti berdiri bersama ketika seseorang rakan seperjuangan berdepan kesusahan.

“Kita mungkin berbeza pandangan, berbeza kedudukan dan memikul tanggungjawab yang berbeza, tetapi apabila sahabat seperjuangan berdepan kesusahan, kita tetap berdiri bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan serta memberikan sokongan bagi membantu keluarga Najib menyelesaikan urusan pembayaran denda berkenaan.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan, kekuatan dan ketabahan kepada Datuk Seri Najib serta seluruh keluarga beliau,” katanya.

Terdahulu, UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai dilaksanakan pagi tadi, sekali gus memenuhi syarat bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi untuk tujuan berkenaan.

Pembayaran itu merupakan antara syarat pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan berkenaan dibuat menerusi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara.

BBerkaitan

Latest articles