KAJANG: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat meninggalkan Kompleks Penjara Kajang pada jam 2.37 petang ini, menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 berwarna kelabu.
Kenderaan itu diiringi kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia, namun destinasi yang dituju masih belum diketahui.
Perkembangan itu menyusul selepas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd selesai diuruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.
Beliau turut mengumumkan penutupan rasmi Tabung Solidariti Najib Razak selepas kutipan sumbangan orang ramai mencapai sasaran.
Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Najib, 73, sebelum ini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International pada 23 Ogos 2022.










