Rafizi Gesa Anwar Gugur BN, Anthony Loke Letak Jawatan Susulan Isu Najib

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menggugurkan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Persekutuan susulan kemelut politik antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang semakin meruncing, termasuk perkembangan terbaharu membabitkan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengasas Parti Bersama Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, perkembangan itu turut memberi implikasi kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang sebelum ini berjanji akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sekiranya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah.

Menurutnya, Anthony tidak mempunyai pilihan selain menunaikan janji berkenaan susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan UMNO melunaskan denda RM50 juta bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.

“Ini bermaksud Setiausaha Agung DAP dan juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke tidak ada pilihan lain kecuali meletakkan jawatan seperti yang dijanjikan,” katanya dalam sidang media di Melaka pada Jumaat.

Rafizi berkata, kemelut antara PH dan BN bukan perkara baharu kerana keretakan hubungan kedua-dua gabungan itu mula diperlihatkan secara terbuka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mei lalu sebelum berlarutan ke PRN Negeri Sembilan dan kini Melaka.

“Kita ada drama Korea bersiri, pasangan bergaduh ini antara PH dengan BN. Daripada sebelum PRN Johor, kemudian masuk Negeri Sembilan dan sekarang Melaka, tidak habis-habis.

“Saya rasa ia sudah menjadi mainan harian apabila keretakan itu bertukar menjadi perang mulut terbuka antara PH dan BN,” katanya.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku apabila seorang Perdana Menteri mengkritik timbalannya secara terbuka di pentas ceramah, selain menteri Kabinet mencabar ketua kerajaan supaya memecat mereka.

Rafizi turut merujuk kenyataan Anwar pada satu majlis bersama pengundi Cina sempena kempen PRN Melaka pada Khamis yang didakwa mencabar menteri UMNO supaya berdebat dengannya dalam mesyuarat Kabinet.

Katanya, keadaan itu memperlihatkan formula Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 2022 atas alasan kestabilan politik dan ekonomi semakin tidak berfungsi.

“Alasan kita menerima kerajaan perpaduan pada 2022 adalah demi kepentingan negara, semua parti yang bermusuhan mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.

“Namun, selepas empat tahun, kita sudah melihat keretakan itu berlaku sepenuhnya di hadapan rakyat,” katanya.

Rafizi berkata, pertelingkahan terbuka itu turut memberi kesan kepada keupayaan kerajaan melaksanakan dasar kerana beberapa kementerian penting diterajui pemimpin UMNO.

Antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Luar, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Undang-Undang.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan keputusan kerajaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh sekiranya tiada kesepakatan antara kementerian.

“Bagaimana hendak melaksanakan pendekatan seluruh kerajaan dalam mentadbir negara jika kementerian tidak bekerjasama dan ada kementerian yang tidak akan mengikut keputusan bersama?

“Senario terbaik, ia akan memperlahankan pentadbiran atau mengekalkan status quo. Senario paling buruk, ia boleh melumpuhkan kerajaan.

“Dengan pergaduhan terbuka seperti ini, besar kemungkinan kerajaan yang ada sekarang hanya bergerak secara autopilot,” katanya.

Selain isu peletakan jawatan Anthony, Rafizi berkata, kemungkinan rombakan Kabinet turut perlu mengambil kira tempoh pelantikan Menteri Kewangan II yang dijangka berakhir pada awal Disember.

Beliau berkata, satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan ialah kedudukan kerajaan selepas memeterai perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menjamin sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Menurutnya, perkembangan itu memberikan ruang kepada Anwar untuk membuat keputusan politik tanpa terlalu bergantung kepada kerjasama dengan BN bagi mengekalkan majoriti kerajaan.

Sehubungan itu, Rafizi berpandangan Anwar wajar menggugurkan menteri daripada UMNO dan mengeluarkan BN daripada Kerajaan Persekutuan.

“Selepas mengambil kira kemungkinan kerajaan lumpuh atau bergerak secara autopilot, keperluan rombakan Kabinet dan hakikat bahawa sudah ada CSA, Bersama berpandangan adalah wajar untuk Datuk Seri Anwar menggugurkan menteri-menteri UMNO dan membuang BN daripada Kerajaan Persekutuan.

“Tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri adalah memimpin Kabinet dan kerajaan Persekutuan supaya memberikan tumpuan kepada pentadbiran negara serta memastikan semua kementerian bergerak seiring sebagai satu unit.

“Jika beliau gagal menyatukan atau mendisiplinkan menteri UMNO, atau beliau sendiri disanggah secara terbuka oleh menteri yang dilantiknya, maka tiada pilihan lain. Sewajarnya Anwar mempunyai keberanian untuk memecat BN daripada kerajaan,” katanya.

Rafizi berkata, tindakan itu juga akan membolehkan PH melaksanakan agenda reformasi yang sebelum ini didakwa terbatas kerana perlu menjaga hubungan dengan BN.

Katanya, alasan untuk berkompromi demi kestabilan politik tidak lagi relevan apabila hubungan antara kedua-dua gabungan itu semakin terbuka bermasalah.

“Jika beliau benar-benar ikhlas mengenai reformasi, perubahan dan mahu melawan politik perkauman serta politik yang menumpang agama, inilah masanya.

“Dengan baki tempoh lebih setahun, UMNO tidak lagi boleh dijadikan alasan sebagai penghalang kepada PH untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles