KUALA SELANGOR: Hujan lebat mencecah 103 milimeter (mm) mencetuskan banjir di beberapa kawasan sekitar Puncak Alam dan Ijok, dengan limpahan air dari kawasan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam serta Sungai Buloh mengakibatkan penempatan penduduk ditenggelami air.
Malah, kejadian banjir di Ijok memaksa lebih 700 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan limpahan Sungai Buloh yang masih belum reda.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), limpahan air dari kawasan UiTM Puncak Alam turut mengalir ke kawasan perumahan berhampiran, termasuk Hillpark dan Taman Seri Alam, Saujana Utama.
Katanya, banjir turut dipengaruhi aliran air dari daerah Petaling melalui Sungai Subang yang menjejaskan Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak sebelum melimpah ke Saujana Aman serta beberapa kawasan lain.
“Semalam hujan dianggarkan lebih 100 mm dan saya sedang mencari penyelesaian supaya kalau berlaku lagi hujan sedemikian bagaimana kita akan tangani,” katanya selepas meninjau kawasan banjir kilat di UiTM Puncak Alam, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin mendakwa kejadian banjir di beberapa kawasan Ijok turut berpunca daripada perbuatan vandalisme yang merosakkan ban di Sungai Buloh, Batu 7.
Kerosakan itu menyebabkan limpahan air menjejaskan Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau, Jeram.
Sementara itu, beliau menafikan aktiviti pembersihan Hutan Simpan Bukit Cherakah menjadi punca banjir di Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Aman dan Ijok.
Bagaimanapun, beliau mengarahkan supaya semua kelulusan pembangunan disemak semula, termasuk memastikan pemaju mematuhi syarat penyediaan kolam tadahan air sementara bagi mengelakkan masalah limpahan air dan risiko runtuhan.










