KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan audit terhadap aliran wang yang disalurkan ke akaun sumbangan UMNO bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan UMNO mengumpulkan dana sebanyak RM50 juta bagi memenuhi syarat pembayaran denda yang dikenakan terhadap Najib sebelum beliau boleh menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
UMNO pada Jumaat mengesahkan semua proses pembayaran RM50 juta kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai pada pagi ini, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Presiden UMNO itu.
Najib dijangka dibawa pulang ke kediamannya selepas solat Jumaat pada Jumaat, namun pihak polis setakat ini belum mengesahkan waktu sebenar pemindahan berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Tony menyifatkan tindakan UMNO mengumpulkan dana berjumlah besar itu sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana sepatutnya wang berkenaan digunakan untuk membantu rakyat biasa.
“Daripada menggunakan sejumlah wang yang begitu besar untuk membantu rakyat biasa, mereka memilih untuk ‘membebaskan’ individu paling korup di Malaysia.
“Warna sebenar UMNO terserlah dengan begitu jelas,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa audit perlu dilakukan bagi memastikan semua dana yang dikumpulkan itu diperoleh melalui sumber yang sah dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
“Lebih penting, saya menggesa Bank Negara Malaysia dan SPRM mengaudit aliran wang yang masuk ke akaun sumbangan UMNO untuk Najib bagi memastikan semua dana yang dikumpulkan adalah sah dan bukan hasil pengubahan wang haram,” katanya.
Dalam pada itu, Tony turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan supaya kembali menilai pendirian dan tindakan UMNO serta Barisan Nasional (BN).
Beliau mendakwa perkembangan itu memberi peluang kepada rakyat untuk melihat semula wajah sebenar UMNO dan BN.










