KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menafikan mengetahui dakwaan dua wakil hadir ke Mahkamah Tinggi bagi menguruskan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Sebaliknya, Rosmah mendakwa beliau dan ahli keluarganya langsung tidak menerima sebarang makluman berhubung perkara itu, sekali gus meminta laporan berkenaan ditarik balik sekiranya tidak benar.
“Saya tidak tahu. Keluarga saya juga tidak dimaklumkan. Sepatutnya kamu beritahu saya.
“Jika laporan itu tidak benar, mereka perlu menarik balik laporan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengurusan kes projek solar membabitkan dirinya di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang mendakwa dua individu mewakili Najib hadir ke mahkamah pada Jumaat bagi menguruskan pembayaran denda berkenaan.
Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada Rabu lalu memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang arahan daripada anak guamnya berhubung pembayaran denda itu.
Najib sebelum ini dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Bagaimanapun, pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, menerusi pengampunan diraja mengurangkan separuh tempoh penjara Najib, selain menurunkan jumlah denda kepada RM50 juta.
Pada September lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan Najib pengampunan bersyarat lanjut yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pelaksanaan pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat lain yang ditetapkan.










