KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menemui sebarang petunjuk penglibatan kakitangan atau pihak dalaman Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kes penyeludupan 26 kilogram dadah ke Jakarta, Indonesia pada 29 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan turut merangkumi aspek keselamatan penerbangan termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC), selain semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan imej pengimbas bagasi.
“Berdasarkan hasil siasatan tersebut, tiada petunjuk yang menunjukkan penglibatan mana-mana kakitangan atau pihak dalaman KLIA dalam kegiatan penyeludupan dadah tersebut.
“Semakan yang dijalankan juga mendapati prosedur dan langkah keselamatan di KLIA telah dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta penjelasan mengenai status siasatan kes seorang pembantu juruterbang warga Malaysia yang didakwa menyeludup 26 kilogram dadah dari KLIA ke Jakarta serta kemungkinan penglibatan pihak dalaman lapangan terbang berkenaan.
Saifuddin berkata, PDRM dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan terperinci berhubung penahanan pembantu juruterbang itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 29 Julai lalu.
Menurutnya, rampasan berkenaan membabitkan 70,114 pil ekstasi jenis MDMA dengan anggaran berat 26 kilogram.
Katanya, individu terbabit kini menjalani proses siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk didakwa mengikut undang-undang negara itu berkaitan penyeludupan dan pengedaran dadah.
“PDRM telah menjalankan tindakan susulan termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia pada 11 hingga 15 Ogos 2026.
“Hasil soal siasat dan perkongsian maklumat risikan telah membantu PDRM mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat, termasuk peranan pihak yang membekalkan, menghantar dan menguruskan aspek kewangan sindiket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, hasil risikan dan siasatan lanjut antara 20 Ogos hingga 6 September lalu, PDRM berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah serta menahan tujuh warga Malaysia yang dipercayai mempunyai peranan dalam rangkaian terbabit.
Menurutnya, kesemua suspek sedang disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Siasatan masih diteruskan bagi menentukan peranan setiap individu serta mengenal pasti sekiranya masih terdapat mana-mana pihak lain yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, walaupun setakat ini tiada petunjuk penglibatan kakitangan KLIA, PDRM akan terus memantau perkembangan siasatan sekiranya terdapat bukti baharu yang menunjukkan mana-mana individu bersubahat, membantu atau terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.










