40 Tahun Pencemaran, Kerajaan Perlu Tamatkan Operasi Ladang Babi Kampung Selamat

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas menamatkan operasi penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor yang didakwa menjadi punca pencemaran air dan bau sehingga membebankan penduduk sekitar sejak lebih 40 tahun lalu.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, masalah pencemaran di kawasan berkenaan masih belum menemui penyelesaian meskipun isu itu sudah berlarutan selama beberapa dekad.

Beliau berkata, perkara itu sekali lagi dibangkitkan ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurutnya, kawasan penternakan seluas kira-kira 72 hektar itu pernah menempatkan 77 kandang dengan populasi sekitar 135,000 ekor babi.

“Operasi penternakan di kawasan itu sudah berlangsung lebih 50 tahun, namun lebih 40 tahun daripada tempoh tersebut menyaksikan penduduk sekitar berdepan masalah pencemaran air dan bau.

“Lebih mengecewakan, ujian kualiti air bebas pada 28 Oktober lalu sekali lagi mendapati air di kawasan berkenaan masih tercemar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Wan Saiful berkata, jawapan kementerian berhubung masalah yang berlarutan itu masih berkisar mengenai usaha mengenal pasti punca, pemantauan dan pemeriksaan, sedangkan penduduk sudah terlalu lama menanggung kesannya.

“Sampai bila penduduk perlu menunggu tindakan?” soalnya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan bukan berkaitan perkauman, sebaliknya membabitkan pematuhan undang-undang dan pencemaran alam sekitar.

Katanya, masyarakat Cina juga berhak menikmati persekitaran yang bersih dan bebas daripada pencemaran.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pulau Pinang sebelum ini pernah mengarahkan penutupan 89 ladang babi di Batu Maung, Gertak Sanggul dan Pantai Acheh.

“Jika pendekatan sama pernah dilaksanakan sebelum ini, mengapa cadangan untuk menyelesaikan masalah di Kampung Selamat pula dijadikan polemik?” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak alasan bahawa penutupan ladang berkenaan akan menjejaskan bekalan daging babi negara.

Sebaliknya, katanya, kerajaan boleh meliberalisasikan import dengan kawalan kesihatan yang ketat selain menyediakan stok simpanan minimum daging babi beku bagi menjamin bekalan domestik.

Beliau turut mencadangkan supaya kebajikan penternak yang terkesan diberikan perhatian melalui pampasan, latihan dan bantuan peralihan kepada sektor ekonomi lain.

Antara alternatif yang dicadangkan ialah industri pemprosesan makanan berasaskan daging import yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi serta impak alam sekitar lebih rendah.

“Penyelesaian kepada masalah pencemaran tidak sepatutnya mengorbankan kebajikan penternak, tetapi kebajikan penternak juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hak penduduk,” katanya.

Beliau menegaskan operasi penternakan babi di Kampung Selamat yang berlarutan dengan masalah pencemaran dan pelanggaran peraturan perlu ditamatkan, selain menggesa kerajaan negeri mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu berkenaan.

Wan Saiful turut mengajak pihak yang mempertahankan operasi penternakan itu supaya melihat sendiri kesan pencemaran bau terhadap penduduk, khususnya menjelang penganjuran Pesta Pulau Pinang di Kubang Menerong pada bulan depan.

“Sudah lebih 40 tahun penduduk menanggung pencemaran. Jangan sampai kepentingan sebuah industri diletakkan lebih tinggi daripada hak ribuan rakyat untuk mendapatkan air bersih dan menikmati udara yang selesa.

“Sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles