HANG TUAH JAYA: Perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap politik negara, malah ia mula diperkenalkan ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga Oktober 2022.
Ismail Sabri berkata, kerjasama antara parti politik selepas pilihan raya perlu menjadi amalan bagi mengelakkan permusuhan berpanjangan yang hanya merugikan negara.
Menurutnya, perbezaan dan persaingan politik sewajarnya tertumpu ketika tempoh pilihan raya, manakala selepas itu semua pihak perlu mengetepikan persengketaan demi kepentingan bersama.
“Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentangan, tetapi luar daripada pilihan raya ini tak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu.
“Kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Mustafa Musa, hari ini.
Pada 29 Oktober lalu, kerajaan memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, enam bekas wakil parti itu serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian berkenaan meliputi sokongan terhadap Belanjawan 2027 dan agenda reformasi institusi, selain membolehkan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara dengan Ahli Parlimen kerajaan.
Mengulas desakan supaya kandungan CSA itu didedahkan kepada umum, Ismail Sabri berkata kerajaan boleh mengambil langkah berkenaan bagi membolehkan rakyat meneliti secara langsung perkara yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut.
“Kalau kerajaan dedahkan, boleh rakyat tengok apa yang terkandung dalam perjanjian tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berpandangan hubungan Umno dan PAS ketika ini memperlihatkan kecenderungan ke arah usaha menyatukan orang Melayu.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kerjasama BN dan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu membuahkan kejayaan, seperti yang didakwa berlaku dalam kerjasama di Johor dan Negeri Sembilan.
Katanya, keyakinan itu didorong oleh sokongan pemimpin PAS di bahagian-bahagian yang menyaksikan calon BN bertanding pada PRN Melaka.










