Pulau Pinang Tidak Akan Tutup Industri Penternakan Babi – Exco

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan menghapuskan industri penternakan babi di negeri itu sebagai jalan penyelesaian kepada isu pencemaran, sebaliknya komited memastikan sektor berkenaan diuruskan secara lebih sistematik dan mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi menangani isu pencemaran Sungai Kereh, khususnya dalam usaha memulihkan dan meningkatkan kualiti air sungai berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu turut mendapat pengiktirafan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung baru-baru ini.

“ADUN Permatang Berangan turut menyatakan bahawa keadaan pencemaran Sungai Kereh telah menunjukkan penambahbaikan hasil daripada usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan sejak beberapa bulan lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kenyataan itu sebagai respons terhadap gesaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang sekali lagi meminta operasi ladang penternakan babi di Kampung Selamat ditamatkan ketika perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Jason H’ng berkata, Wan Saiful sepatutnya mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai tindakan dan usaha kerajaan negeri sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, ADUN Permatang Berangan turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan kenduri rakyat di tebing Sungai Kereh pada penghujung tahun depan, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah mengelak daripada mengakui masalah pencemaran yang berlaku akibat pengurusan sisa penternakan tidak sempurna pada masa lalu.

“Kita bersedia mengakui kelemahan, berhadapan dengan masalah dan mencari penyelesaian, dan bukannya mengelak daripada tanggungjawab atau menghapuskan industri tersebut sebagai jalan penyelesaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengenakan peraturan baharu yang mewajibkan penternak meningkatkan teknologi penternakan serta pengetahuan dan kepakaran, khususnya dalam aspek kebersihan persekitaran, pengurusan sisa, kawalan pelepasan efluen dan pematuhan undang-undang.

Katanya, penternak turut diberikan ruang dan peluang munasabah untuk menaik taraf teknologi bagi mencapai standard pengurusan serta perlindungan alam sekitar yang lebih tinggi.

Mengulas cadangan Wan Saiful supaya penternak yang terkesan dibantu beralih ke sektor ekonomi lain melalui latihan dan bantuan, Jason H’ng berpandangan pendekatan itu secara tidak langsung tetap menjurus kepada penutupan ladang penternakan babi sebagai matlamat akhirnya.

Beliau berkata, industri penternakan babi mempunyai nilai ekonomi tersendiri kerana bukan sahaja menyumbang kepada sektor pengeluaran pertanian, malah merancakkan rantaian bekalan serta perkembangan pelbagai industri hiliran.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempunyai keyakinan dan komitmen untuk memastikan industri penternakan babi di negeri ini diuruskan secara teratur dan mampan.

“Melalui pengurusan yang lebih sistematik, pemantauan yang ketat serta penguatkuasaan peraturan yang berkesan, kita boleh memastikan industri ini dapat terus beroperasi dan berkembang, selaras dengan segala keperluan undang-undang dan piawaian alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Jason H’ng menjemput Wan Saiful untuk turun padang bersama-sama beliau ke Sungai Kereh bagi meninjau keadaan semasa dan melihat perkembangan terkini kualiti air sungai berkenaan.

Menurutnya, lawatan itu juga membolehkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan menilai sendiri berdasarkan fakta dan data segala langkah yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan bagi menangani pencemaran.

BBerkaitan

Latest articles