Rakaman CCTV Rusuhan Penjara Taiping Tidak Boleh Ditayang Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat membenarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden rusuhan di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025 ditayangkan kepada Ahli Parlimen buat masa ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman berkenaan merupakan bahan bukti yang telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, sebarang pendedahan atau penayangan rakaman itu perlu mengambil kira statusnya sebagai bahan bukti serta kepentingan menjaga integriti proses perundangan yang sedang berjalan.

“Pendedahan terbuka terhadap rakaman tersebut berpotensi menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah, mempengaruhi keterangan saksi serta menimbulkan prejudis atau persepsi terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

“Sehubungan itu, rakaman CCTV tersebut tidak dapat ditayangkan kepada Ahli-ahli Parlimen pada masa ini,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang bertanyakan sama ada kerajaan bersedia menayangkan rakaman CCTV insiden rusuhan berkenaan di Parlimen kepada Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rakaman CCTV yang diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ketika prosiding inkuiri awam dibuat atas kehendak dan arahan pengerusi suruhanjaya itu.

Katanya, penyerahan berkenaan dibuat berdasarkan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Bagaimanapun, beliau berkata, SUHAKAM menetapkan rakaman tersebut hanya boleh ditayangkan secara tertutup kepada ahli panel dan pihak yang mengendalikan prosiding, termasuk peguam pemerhati bagi tujuan inkuiri awam berkenaan.

“Kerajaan akan terus memastikan sebarang pengendalian dan pendedahan bahan bukti berkaitan perkara ini dibuat dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti prosiding serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles