KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan pusat data berdaulat negara (national sovereign data centre) serta memastikan kunci penyulitan data negara berada di bawah kawalan sendiri bagi memperkukuh keselamatan siber negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan data negara terpelihara, khususnya ketika ancaman serangan siber semakin meningkat di peringkat global.
Beliau berkata, cadangan berkenaan perlu diberikan perhatian serius dan tidak sekadar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan semasa.
“Kami juga mahu kerajaan memegang sendiri akan kunci penyulitan bagi data negara. Yang ini yang harus kita adakan, jangan kita buat ini untuk melepaskan batuk di tangga semata-mata,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, pihak pembangkang menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan isu keselamatan siber.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu perlu disusuli tindakan jangka panjang bagi memastikan negara lebih bersedia menghadapi ancaman serangan siber.
Beliau berkata, beberapa negara termasuk di Eropah, Perancis, Azerbaijan dan Singapura turut berdepan ancaman serangan siber dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin mencabar.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, pembangkang turut membangkitkan isu krisis tenaga dan keterjaminan makanan sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat, termasuk ketika perbahasan Belanjawan.
Katanya, isu kos sara hidup bukan sekadar berkisar mengenai harga barangan, sebaliknya turut melibatkan keperluan tenaga serta bekalan makanan yang mencukupi dan mampu dibeli rakyat.
“Kita beri penekanan tentang tenaga yang perlu kita atau kerajaan sediakan. Kedua, tentang kedudukan makanan sama ada ia mencukupi ataupun tidak, serta harga makanan sama ada boleh dibeli oleh rakyat keseluruhan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata, teguran dan cadangan pembangkang bertujuan memastikan kerajaan memberikan perhatian kepada keperluan rakyat, selain mengambil langkah persediaan menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan global.
Mengulas perkembangan politik, Hamzah turut menyentuh gelombang biru yang menurutnya bermula di Negeri Sembilan dan berpotensi berterusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, perkembangan itu dilihat sebagai satu bentuk isyarat rakyat terhadap pentadbiran kerajaan, sambil mengaitkannya dengan perubahan politik yang berlaku dalam pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat.
“Jadi gelombang yang akan berlaku di Negeri Sembilan, dibawa ke Melaka, ia akan menjadi satu lagi gelombang yang besar di seluruh negara,” katanya.










