Terengganu Catat Penyusutan Sawah Padi Tertinggi, 1,352 Hektar

KUALA LUMPUR: Terengganu mencatatkan penyusutan kawasan sawah padi tertinggi di negara ini dengan keluasan 1,352 hektar bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 3,598 hektar kawasan sawah padi di seluruh negara yang telah ditukarguna bagi tujuan pembangunan dan tanaman lain dalam tempoh berkenaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penukargunaan kawasan sawah itu melibatkan pelbagai tujuan termasuk pembangunan perumahan, projek laluan rel, kawasan komersial serta pembinaan kemudahan awam.

Menurutnya, kemudahan awam berkenaan termasuk sekolah, inap desa dan aktiviti ekonomi lain.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyedari bahawa terdapat sawah padi telah ditukarguna untuk tujuan lain seperti pembangunan dan tanaman lain.

“Berdasarkan statistik semasa, jumlah keluasan sawah yang telah ditukarguna adalah sejumlah 3,598 hektar,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Tuan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta kementerian menyatakan statistik keluasan sawah yang ditukar kepada pembangunan atau tanaman lain mengikut negeri dan tahun.

Selain Terengganu, Pulau Pinang merekodkan penyusutan kedua tertinggi iaitu 784 hektar, diikuti Sabah (391 hektar), Selangor (315 hektar), Perak (296 hektar), Pahang (247 hektar) dan Kelantan (169 hektar).

Sementara itu, Kedah dan Perlis mencatatkan penyusutan sebanyak 44 hektar, manakala Sarawak tidak merekodkan sebarang penyusutan kawasan sawah padi dalam tempoh tersebut.

BBerkaitan

Latest articles