Tular Remaja Maut Akibat Kerusi Urut, Polis Sahkan Berita Palsu

KAJANG: Dakwaan tular kononnya seorang remaja perempuan maut akibat renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah disahkan tidak benar, dengan polis memberi amaran tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasil siasatan mendapati tiada kejadian seperti yang didakwa dalam hantaran berkenaan berlaku.

Menurutnya, polis menerima satu laporan pada jam 7.50 malam semalam berhubung pautan hantaran berkenaan yang disebarkan menerusi laman sosial Facebook.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“ Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam serta penyalahgunaan kemudahan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi talian 03-8911 4222.

BBerkaitan

Latest articles