KUALA LUMPUR: Sebanyak 28 keluarga mangsa tragedi banjir Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu layak menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM174,000, selepas memenuhi syarat kelayakan caruman.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, jumlah berkenaan merangkumi bantuan kewangan segera sebanyak RM3,000 serta faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk disalurkan kepada waris mangsa yang layak.
Beliau berkata, daripada 28 keluarga yang layak, seramai 16 keluarga hadir pada majlis penyerahan faedah yang berlangsung di Menara Perkeso, semalam.
Menurutnya, kerajaan memahami kesukaran dan ketidakpastian yang masih ditanggung keluarga mangsa, khususnya mereka yang kehilangan tempat bergantung akibat tragedi berkenaan.
“Tiada bantuan dapat menggantikan kerisauan ini. Namun, saya mewakili kerajaan tidak mahu keluarga menanggung beban ini bersendirian, khususnya waris yang kehilangan tempat bergantung.
“Justeru, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Perkeso berusaha memastikan waris mangsa yang layak mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya,” katanya pada sidang media Penyerahan Faedah Perkeso kepada Mangsa Banjir Nepal.
Ramanan berkata, Perkeso turut menjalankan semakan terperinci bagi memastikan semua waris yang memenuhi syarat tidak tercicir daripada menerima manfaat berkenaan.
Katanya, pembayaran pencen akan dilaksanakan sebaik sahaja semua maklumat dan dokumen berkaitan lengkap.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kebajikan keluarga mangsa yang tidak mempunyai rekod caruman Perkeso turut diberi perhatian.
Melalui Program Social Synergy, Perkeso akan menghubungkan keluarga terjejas dengan 990 rakan strategik, termasuk 130 agensi di seluruh negara, bagi mengenal pasti bentuk bantuan alternatif yang bersesuaian untuk meringankan beban mereka.










