KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mempunyai perancangan untuk menyediakan unit tambahan Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menampung keseluruhan permintaan golongan yang masih menunggu penempatan di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha mengurangkan senarai menunggu akan ditumpukan kepada pengoptimuman unit sedia ada, termasuk pengurusan kekosongan dan penguatkuasaan terhadap penyewa yang melanggar syarat.
Menurutnya, DBKL kini mengurus dan menyelia sebanyak 32,127 unit sewa PA dan PPR di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan statistik, jumlah kekosongan unit PA/PPR yang tersedia adalah terhad.
“DBKL pada masa ini tidak mempunyai perancangan untuk menyediakan unit tambahan PA/PPR bagi menampung keseluruhan permintaan tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan menangani isu isi rumah yang masih menunggu perumahan awam di Kuala Lumpur, jumlah unit tambahan diperlukan serta sasaran mengurangkan senarai menunggu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Hannah berkata, bagi tempoh 2024 hingga 2026, DBKL menerima sebanyak 4,395 permohonan, manakala 4,444 permohonan telah diangkat ke Jawatankuasa Peruntukan Rumah Awam (JKPRA) bagi kategori permohonan baharu dan rayuan.
Beliau berkata, DBKL turut melaksanakan penguatkuasaan terhadap penyewa sedia ada, khususnya mereka yang mempunyai tunggakan sewa tinggi, tidak mematuhi syarat penyewaan atau tidak lagi memenuhi kelayakan untuk terus menduduki unit PA/PPR.
“Daripada Januari sehingga 23 September 2026, sebanyak 602 unit perumahan awam diambil tindakan bagi proses penguatkuasaan oleh DBKL atas pelanggaran syarat dan peraturan yang ditetapkan.
“Daripada jumlah tersebut, 323 unit telah berjaya dikosongkan dengan 193 unit berjaya ditawarkan dan 130 unit dalam proses penawaran kepada 234 pemohon yang menunggu tawaran secara berperingkat,” katanya.
Menurutnya, DBKL juga melaksanakan proses pemutihan data permohonan serta pengemaskinian maklumat bagi memastikan senarai menunggu hanya melibatkan pemohon aktif yang masih memenuhi syarat kelayakan.
Dalam pada itu, pemohon yang berkemampuan dan memenuhi syarat turut digalakkan memohon skim perumahan mampu milik seperti Residensi Wilayah dan Residensi MADANI.
Residensi Wilayah menawarkan unit berkeluasan minimum 800 kaki persegi pada harga sekitar RM300,000, manakala Residensi MADANI menawarkan rumah pada harga antara RM150,000 hingga RM200,000 bergantung kepada saiz dan had pendapatan isi rumah.
Hannah berkata, langkah itu bertujuan memastikan PA/PPR terus memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah, manakala pemohon yang mempunyai kemampuan kewangan boleh mendapatkan alternatif melalui skim perumahan mampu milik berkenaan.










