Malaysia Tak Perlu Arah Rakyat Simpan Stok Makanan, Bekalan Dijamin Enam Bulan

KUALA LUMPUR: Kedudukan bekalan makanan negara yang masih kukuh menyebabkan Malaysia tidak perlu mengeluarkan arahan kepada rakyat untuk membuat persediaan menyimpan barangan keperluan asas bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kapasiti simpanan makanan negara ketika ini mampu menampung keperluan sekurang-kurangnya enam bulan, sekali gus memastikan bekalan mencukupi untuk rakyat dan warga asing di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan tidak melihat keperluan untuk melaksanakan langkah seperti yang disarankan beberapa negara lain kerana tahap keterjaminan makanan negara masih berada pada kedudukan memadai.

“Tidak nampak adanya keperluan ke arah itu sebab daripada segi keterjaminan makanan dan tahap simpanan itu mencukupi dan kita tahu bahawa sekurang-kurangnya kita mempunyai kapasiti selama enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Kerjasama Malaysia-China dalam Pelaburan, Perdagangan dan Pemerkasaan Ekonomi di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menegaskan Malaysia tidak berdepan situasi darurat ketika ini dan berharap keadaan itu terus kekal.

“Kita tidak berada dalam keadaan darurat dan insya-Allah jauh daripada keadaan darurat itu,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak 33 negara dilaporkan menggalakkan rakyat masing-masing menyediakan bekalan kecemasan bagi menghadapi risiko gangguan makanan, air dan perkhidmatan asas.

Antara negara yang menyarankan penyimpanan bekalan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari ialah Perancis, United Kingdom, Kanada, Jepun, Mexico dan Belanda.

Sweden serta Norway pula mencadangkan persediaan bekalan selama seminggu, manakala Jerman menetapkan saranan sehingga 10 hari.

Langkah itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan orang awam terhadap ancaman seperti konflik bersenjata, cuaca ekstrem, gangguan elektrik dan serangan siber yang boleh menjejaskan kehidupan seharian.

BBerkaitan

Latest articles