Polis Siasat Dakwaan ADUN Pukul Isteri, Empat Individu Sudah Dirakam Keterangan

GEORGE TOWN: Dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang memukul isterinya mencetuskan siasatan polis, dengan empat individu termasuk pasangan terbabit sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang didakwa berlaku Sabtu lalu, membabitkan wanita berusia 36 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, manakala pengesahan berkaitan kecederaan yang dialami mangsa akan diperoleh daripada pakar perubatan.

“Setakat ini, kita sudah merakam keterangan empat individu termasuk pasangan suami isteri terbabit serta ahli keluarga mereka.

“Kita sedang melengkapkan siasatan ketika ini. Berhubung kecederaan yang dialami mangsa, kita akan mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dennis Lim menepis dakwaan kononnya pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap laporan berkenaan, sebaliknya menegaskan siasatan sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang.

Menurutnya, kes itu membabitkan isu kekeluargaan dan pihak polis akan memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh bagi menjamin keadilan kepada semua pihak.

“Dakwaan bahawa siasatan tidak dilakukan adalah tidak benar kerana kita menjalankan siasatan mengikut undang-undang.

“Kes berkenaan membabitkan masalah keluarga dan tidak sepatutnya diperbesarkan. Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles