KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita yang didakwa mengasari dua kanak-kanak, termasuk menolak seorang budak lelaki sehingga terjatuh serta memukul belakang kepala adik perempuannya berusia dua tahun, kini dalam siasatan polis.
Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di ibu negara kira-kira jam 3 petang ketika bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan sedang berjalan bersama anak-anaknya yang masing-masing berusia dua dan tujuh tahun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial, memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Menurutnya, polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada jam 7.39 malam.
Berdasarkan laporan tersebut, seorang wanita yang tidak dikenali didakwa secara tiba-tiba menolak anak lelaki pengadu dari belakang sehingga terjatuh.
“Wanita itu turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Ahmad Azwan berkata, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta mendapatkan gambaran jelas mengenai insiden yang berlaku.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sehingga boleh mengganggu proses siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di 03-2600 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.










