Lip Eng Desak LLM Jawab Isu TuJu Dalam Tempoh Tujuh Hari

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengemukakan penjelasan terperinci dalam tempoh tujuh hari berhubung pelbagai persoalan membabitkan aplikasi navigasi TuJu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, penjelasan itu perlu disertakan bukti dan merangkumi proses pemilihan Prosignal Consortium Sdn Bhd, kemungkinan konflik kepentingan, keselamatan data pengguna serta sebarang implikasi kewangan kepada LLM.

Beliau turut menuntut maklumat berkenaan didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan dan membolehkan rakyat menilai sendiri isu terbabit.

Katanya, sekiranya siasatan mendapati wujud kecuaian serius atau salah laku, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, bukannya menjadikan pegawai bawahan sebagai kambing hitam.

Gesaan itu menyusul kenyataan jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, bahawa pengurusan tertinggi LLM perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan menerima maklumat tidak tepat atau mengelirukan mengenai keupayaan TuJu.

Isu itu turut dibangkitkan susulan penjelasan Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad, bahawa aplikasi berkenaan pada asalnya dibangunkan untuk menambah baik perkhidmatan lebuh raya bertol dan bukannya bersaing secara langsung dengan Waze.

Hasni juga mempersoalkan ketepatan maklumat yang disampaikan LLM dan Prosignal ketika taklimat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 20 Oktober lalu.

Sebelum ini, Anwar menggalakkan rakyat menggunakan TuJu berbanding Waze atas kebimbangan terhadap keselamatan data dan pergerakan pengguna susulan kaitan aplikasi berkenaan dengan Israel.

Bagaimanapun, usaha mempromosikan TuJu mencetuskan perbandingan dengan Waze apabila pengguna mula melaporkan gangguan teknikal serta kelemahan fungsi navigasi susulan peningkatan mendadak jumlah pengguna.

Prosignal kemudian memohon maaf atas masalah berkenaan dan memaklumkan usaha sedang dilakukan bagi memulihkan serta menambah baik prestasi aplikasi itu.

BBerkaitan

Latest articles